Rabu, 30 Julai 2008

YAAM hulur bantuan kepada pesakit angin ahmar

Yayasan Angin Ahmar Melaka (YAAM) baru-baru ini memberi sumbangan berupa kerusi roda dan lampin pakai buang kepada seorang pesakit angin ahmar di sini.

Pesakit tersebut, Sabri Moktar, 42, menerima sumbangan tersebut daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.

Turut sama menyaksikan sumbangan tersebut adalah Setiausaha Kerja YAAM, Mohd Ghazali Baharuddin dan Penghulu Dun, Lazan Ali.

Menurut Mohd Ghazali, sumbangan yang dihulurkan bersesuaian dengan objektif yang terdapat di YAAM iaitu berusaha menyediakan kemudahan serta peralatan kepada penghidap angin ahmar untuk membantu memulihkan pesakit.

“Memang menjadi tanggungjawab kami seperti mana yang telah disarankan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan kerajaan negeri yang mahu bantuan dihulurkan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Di samping itu kami turut memberi bantuan berbentuk lampin pakai buang kepada pesakit kerana harga lampin di pasaran tinggi dan kebiasaannya keluarga pesakit terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, sehingga Julai tahun ini, YAAM telah memberi sebanyak tiga kerusi roda kepada mereka yang layak di kawasan Dun Merlimau ini.

“Manakala hampir 10 pesakit angin ahmar di kawasan Dun ini telah menerima bantuan berupa lampin pakai buang.

“Sepanjang tahun ini sahaja, 50 orang rakyat di Negeri Melaka menerima sumbangan kerusi roda dan hampir 60 orang menerima lampin pakai buang,” katanya.

Sementara itu, isteri pesakit, Siti Noriah Abu, merakamkan penghargaan kepada YAAM di atas bantuan yang dihulurkan kepada suaminya.

“Bantuan yang diterima pada hari ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dalam kos untuk menampung perbelanjaan seharian.

Tiada ulasan: