Selasa, 15 Julai 2008
Melaka Negeri Pertama Lancar 'Bumi Hijau'
Melaka muncul negeri pertama melancarkan kempen 'Bumi Hijau' selepas pelancaran Kempen Bumi Hijau Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 30 Jun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, program itu adalah bagi mengurangkan kos perbelanjaan keluarga disebabkan kenaikan harga minyak, sekaligus menggalakkan rakyat bercucuk tanam dan berternak bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian.
Menurutnya, program berkenaan akan mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama penduduk taman perumahan di bandar-bandar dan sekitarnya.
"Program ini juga akan mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat, selamat dimakan serta persekitaran rumah yang menarik dengan tanaman sayur-sayuran selain mencorak halaman rumah supaya lebih cantik dan menarik melalui kombinasi tanaman bunga dan sayuran serta ulaman," katanya ketika berucap di majlis perasmian Kempen Bumi Hijau di Kampung Telok Bukit Katil, di sini, pagi tadi.
Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Muhammad Hidhir Abu Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhammad; Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Ayer Molek, Datuk Md Yunos Husin; ADUN Paya Rumput, Datuk Tahir Hasan serta pegawai-pegawai kerajaan.
Mohd Ali berkata, konsep yang mensasarkan penduduk taman perumahan, bandar-bandar, penghuni rumah pangsa dan murid sekolah adalah menerusi kaedah Kitchen Garden atau 'Edible Landscape' iaitu tanaman sayuran dalam pasu, polibeg dan bekas-bekas daripada bahan terbuang.
"Salah satu lagi pendekatan yang menarik pada program Bumi Hijau ini adalah pengwujudan 'Kebun Komuniti', di mana tanah-tanah kosong milik kerajaan , majlis tempatan, swasta dan rumah ibadat ditanam secara berkumpulan dan diuruskan oleh satu badan pengurusan seperti Jawatankuasa Rukun Tetangga.
"Pendekatan seperti ini akan dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan di kalangan penghuni-penghuni taman melalui kerja-kerja gotong-royong serta penukaran dan perkongsian hasil tanaman yang segar," katanya lagi.
Jelasnya, komponen ternakan juga tidak ketinggalan iaitu menternak ayam kampung, itik, dan puyuh, manakala aktiviti menternak ikan keli dan ikan talapia dalam tangki Poly Ethelene juga turut diperkenalkan.
"Kempen ini diperluaskan di kem-kem tentera, kuaters kakitangan Kerajaan, sekolah-sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terdapat di negeri ini," katanya lagi.
Justeru, Mohd Ali menyeru masyarakat di negeri ini supaya menanam sayuran di sekeliling rumah dan menjadikannya satu budaya yang berkekalan supaya keluarga dapat memperolehi bekalan yang segar, selain mengurangkan kos perbelanjaan dapur.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan