Rabu, 26 November 2008

Jabatan promosi ikan air tawar

Jabatan Perikanan akan meneruskan kerjasama dengan semua hotel dan resort di setiap negeri sebagai langkah awal untuk mempromosikan ikan air tawar supaya menjadi antara menu utama makanan di premis berkaitan.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Suhaili Lee, berkata usaha sama yang akan bermula awal tahun depan itu dijangka memberi banyak manfaat, bukan saja kepada pelanggan yang dapat menikmati makanan dengan mudah, malah pemilik hotel serta penternak ikan yang kebanyakan masyarakat luar bandar.

Katanya, pihaknya juga akan membantu pemilik hotel untuk mendapatkan bekalan ikan air tawar menerusi perkenalan dengan penternak ikan air tawar yang terbabit dalam Program Dasar Jaminan Makanan Nasional anjuran Jabatan Perikanan.

"Jabatan ini berharap promosi makanan ikan air tawar ini memberi manfaat kepada penternak kerana ia sekali gus mampu membantu mereka menjual hasil ternakan kepada hotel.

"Pada masa sama, ia turut menggalakkan masyarakat supaya terus menjalankan ternakan ikan atau udang di kawasan terbiar di tempat mereka dan Jabatan Perikanan sedia membantu menerusi Program Dasar Jaminan Makanan Nasional," katanya selepas menghadiri majlis penutupan Seminar Gerai Ikan Bakar peringkat negeri di Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) Umbai Baru, Serkam di sini, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Ghazale Muhamad dan Pemangku Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali.

Suhaili berkata, beberapa hotel yang menjadikan masakan ikan air tawar sebagai menu di restoran mereka mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat khususnya pada waktu makan tengah hari dan malam.

Katanya, langkah itu dilihat mampu diperluaskan ke hotel lain, sekali gus menyahut seruan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya menjadikan ikan air tawar yang berprotein tinggi sebagai antara makanan harian penduduk di negara ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Suhaili berkata, semua pengusaha ikan bakar di seluruh negara perlu mementingkan kesegaran dan kualiti ikan seterusnya menghasilkan sajian yang menepati Piawaian Keselamatan Makanan.

Beliau berkata, pengusaha makanan itu juga perlu menitikberatkan pengendalian ikan yang sempurna, selain memastikan kaedah mempamer dan penyimpanan ikan serta tahap kebersihan premis serta pekerja mereka.

"Penurunan kualiti ikan dalam bentuk fizikal, kimia dan biologi adalah berpunca daripada pengendalian ikan yang tidak sempurna. Sebagai contoh, penggunaan ais yang kurang serta penggunaan peti ikan yang tidak sesuai termasuk aktiviti semasa mengendalikan penyediaan sajian.

"Sehubungan itu, perlu diingatkan bahawa aspek pengendalian ikan dijadikan agenda utama dalam usaha memperbaiki dan menjamin sajian serta menjamin nilai jualan yang lebih besar," katanya.

Selasa, 18 November 2008

Kebun Komuniti tarik minat bertani

Kewujudan Kebun Komuniti merupakan salah satu pendekatan yang digunakan kerajaan dalam menarik minat lebih ramai masyarakat setempat menyertai kempen Program Bumi Hijau.

Pegawai Pertanian Daerah Jasin, Mahathir Omar ketika membacakan teks ucapan sebagai mewakili Pegawai Daerah, Halim Ahmad berkata, Kebun Komuniti ini diadakan apabila tanah-tanah kosong milik kerajaan, majlis tempatan, swasta, sekolah-sekolah, rumah ibadat serta bahu-bahu jalan di kawasan perumahan berkenaan ditanam secara individu atau berkumpulan yang diuruskan oleh satu badan pengurusan.

Katanya, selain daripada tanaman, komponen ternakan melibatkan pemeliharaan ayam kampung, itik atau puyuh boleh juga diadakan jika bersesuaian.

“Manakala bagi aktiviti menternak ikan keli atau ikan tilapia di dalam sangkar kanvas atau takungan juga akan membantu pengeluaran bekalan ikan sendiri.

“Justeru, dengan kempen ini diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, sebuah taman perumahan, dua buah sekolah menengah dan empat buah sekolah rendah telah menyertai program ini melalui bimbingan daripada Jabatan Pertanian,” katanya di Majlis Perasmian Program Bumi Hijau Peringkat DUN Merlimau, di Taman Sejati, semalam.

Menurutnya, sokongan teknikal berupa khidmat nasihat serta latihan dalam aspek penanaman, penjagaan tanaman, penternakan dan landskap akan disampaikan oleh Jabatan Pertanian, MARDI, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan FAMA.

“Diharapkan melalui program ini ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan berjimat cermat, bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat serta kepuasan mengeluarkan bahan makanan sendiri yang berkualiti dan selamat,” jelasnya.

Tambahnya, matlamat utama program ini diadakan bertujuan menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan serta mengurangkan kos perbelanjaan harian yang kian meningkat akibat daripada kenaikan harga minyak dan bahan-bahan lain.

“Di samping itu ia turut bertujuan untuk memberi kesedaran dan minat rakyat, khususnya dalam kalangan belia, pelajar sekolah, pusat jagaan dan pemulihan terhadap bidang pertanian.

“Kita mahu memberi kesedaran tentang kepentingan makanan berkhasiat, segar dan selamat kepada mereka semua selain mahu mewujudkan suasana persekitaran dan halaman rumah, sekolah yang cantik serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan anggota komuniti yang terlibat dalam program Bumi Hijua ini,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, konsep kempen ini adalah sedikit berbeza dengan konsep yang diadakan sebelum ini kerana fokus utama dalam program ini disasarkan kepada penduduk di taman perumahan di bandar, penghuni rumah pangsa, kampung, pejabat dan kuarters kerajaan dan murid-murid sekolah.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Melaka, Nor Sham Alwi, Penghulu DUN, Lazan Ali, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sejati, Mohd Romaino Ali, Pengerusi JKKK Merlimau Tengah, Othman Jonit, serta beberapa Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Merlimau.

Khamis, 13 November 2008

Kerajaan Kaji Ternakan Walit Khususnya Di Kawasan Warisan

Satu jawatankuasa untuk mengkaji ternakan burung walit khususnya di Jonker Walk atau kawasan warisan di negeri ini sudah dibentuk Kerajaan Negeri berdasarkan permintaan penternak burung walit supaya Kerajaan memberi lesen bagi membolehkan mereka menternak haiwan berkenaan.

Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, pembentukan jawatankuasa itu dibuat dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini dan ia berperanan memberi laporan berhubung kesesuian ternakan burung walit yang diternak di dalam kawasan warisan.

Menurutnya, setakat ini, Kerajaan Negeri belum memberi sebarang kata putus berhubung permintaan penternak terbabit selagi belum mendapat laporan berhubung perkara itu daripada jawatankuasa yang dibentuk.

"Jawatankuasa ini yang dipengerusikan saya sendiri akan membuat laporan tentang perkara itu pada mesyuarat Exco akan datang.

"Sehubungan itu, kita sedang mengkaji perkara berkenaan dan jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan bertindak memanggil beberapa orang tertentu yang boleh memberi pandangan berkaitan hal berkenaan serta mengemukakan syor mengenai apakah langkah terbaik yang membolehkan kita membantu persatuan penternak burung walit di negeri ini," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Mohamad Hidhir berkata, apa yang dimaklumkan setakat ini, pihak penternak burung walit mendakwa ternakan haiwan berkenaan tidak menimbulkan pencemaran, tetapi pandangan ini berbeza dengan tanggapan pihak lain.

"Apapun jawatankuasa yang ada ini akan meneliti perkara berkenaan bagaimanapun, sebagai contoh, kita dapati terdapat sarang burung di dalam bilik Hotel Puri yang terletak bersebelahan Jonker Walk, malah ia tidak pula menimbulkan rungutan pengunjung hotel itu sendiri.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan satu tempat yang khusus, di mana penternak burung walit menternak haiwan itu di kawasan yang ditetapkan pada masa akan datang," katanya.

Melaka sasar RM54.39 juta nilai keluaran lembu 2010

Melaka menyasarkan RM54.39 juta nilai pengeluaran ternakan lembu di seluruh negeri ini pada 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, sasaran itu lebih besar berbanding pengeluaran 2005 iaitu RM33.39 juta.

Pada masa ini terdapat kira-kira 732 penternak lembu jenis tenusu, daging dan kandang yang jumlah keseluruhannya sebanyak 24,639 ekor di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

"Daerah Alor Gajah mencatatkan bilangan penternak terbanyak iaitu seramai 340 orang menternak lembu daging dengan jumlah ternakan sebanyak 11,123 ekor. Kerajaan negeri turut menyasarkan nilai pengeluaran untuk ternakan kambing dan biri-biri sebanyak RM8.47 juta dalam tempoh yang sama berbanding RM2.67 juta pada tahun 2005. Ketika ini, seramai 419 penternak kambing terdapat di seluruh negeri dengan bilangan ternakan sebanyak 28,912 ekor sementara penternak biri-biri seramai 84 orang dengan jumlah ternakan 6,394 ekor," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan penduduk terutama di luar bandar untuk terlibat secara aktif meningkatkan nilai pengeluaran ternakan pada masa depan.

"Mereka yang berminat perlu berkemampuan daripada segi modal dan memastikan jarak kawasan ternakan adalah satu kilometer dari kawasan penempatan penduduk bagi mengelak masalah pencemaran bau dan alam sekitar," katanya.

Beliau menjelaskan, buat masa ini kerajaan negeri belum bercadang menghasilkan bahan makanan ternakan bagi diedarkan kepada penternak.

“Penternak digalakkan mencari alternatif sendiri termasuk mengambil bahan semula jadi bagi tujuan tersebut. Misalnya menggunakan daun kelapa sawit bagi kegunaan bahan makanan ternakan kerana penggunaannya terbukti menambah protein dan pada masa sama penternak boleh mendapatkan nasihat kepakaran dari Jabatan Veterinar negeri,” katanya.

Isnin, 10 November 2008

Kem Kelab Rukun Negara Pupuk Patriotik Pelajar

Kelab Rukun Negara Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau 2 telah menganjurkan Kelab Rukun Negara di dewan sekolah berkenaan meliputi penyertaan seramai 100 murid Tahun 6, baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan(GPK) Kokurikulum SK Merlimau 2, Suhaimi Monir memberitahu, pengisian program kem tersebut menganduni ceramah yang di sampaikan oleh Pensyarah Kanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTEM), Mahadi Abu Hassan.

"Pensyarah Kanan tersebut telah menyampaikan ceramahnya bertajuk "Penghayatan Rukun Negara; Kepercayaan Kepada Tuhan ,"Katanya ceramah Mahadi yang juga penulis Atikal di akhbar rasmi Kerajaan Negeri Melaka itu telah mendapat reakasi positif di kalangan para guru dan pelajar.

Suhaimi berkata, selain itu, program ini juga bertujuan memberikan pengetahuan dan pendedahan tambahan kepada pelajar-pelajar sekolah mengenai kepentingan menghayati semua prinsip Rukun Negara.

"Disamping itu, ia juga membantu mewujudkan rakyat yang bukan sahaja bertangungjawab terhadap masyarakat dan negara, tetapi menjadikan mereka rakyat yang produktif, sekaligus akan menyumbang kepada perpaduan dan pembangunan negara, ulasnya.