Jumaat, 13 Mac 2009

Dahulu pokok bunga kini tanam sayur

dahulu kawasan belakang rumahnya dipenuhi dengan pokok bunga namun semenjak awal tahun ini ianya berubah dan dipenuhi dengan tanaman sayur-sayuran pelbagai jenis.

Suri rumah tangga sepenuh masa, Sabarinah Kariyoh, 43, dari Felcra Seri Mendapat kini boleh berbangga apabila dapat menikmati hasil tanaman sayur-sayuran di belakang rumahnya.

“Dahulu belakang rumah dipenuhi dengan pelbagai pokok bunga tetapi tidak tahan dengan baja yang mahal dan saya mengambil keputusan untuk menggunakan tanah ini untuk bercucuk tanam.

“Selepas saya menghadiri kursus Kempen Bumi Hijau di Felcra Bukit Sendanan, awal tahun lalu, banyak maklumat dan informasi menarik yang saya jadikan panduan untuk memulakan tanaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, bermula dengan tanaman sawi, kini di kebun kecilnya itu juga mempunyai kacang panjang, kacang buncis, kangkung, timun dan cili.

“Selesai kursus bersama rakan-rakan lain, saya sambil dibantu suami dan tiga anak lelaki bekerjasama membersihkan kawasan belakang rumah dan menjadikannya sebagai kebun kecil untuk kami bercucuk-tanam.

“Bercucuk tanam sayur-sayuran ini sangat mudah kerana ia tidak memerlukan jagaan rapi seperti pokok bunga dan baja yang diperlukan juga tidak mahal hanya perlu menggunakan baja organik,” katanya.

Jelasnya, Felcra banyak membantunya sekeluarga dalam mengusahakan kebun kecil itu.

“Pihak Felcra sendiri ada menyampaikan bantuan seperti baja, tanah, batu-bata, benih kepada saya semasa mereka mendapati saya sekeluarga benar-benar mahu mengusahakan tanaman sayur-sayuran.

“Justeru, saya ingin berterima kasih di atas bantuan dan galakan daripada pihak Felcra serta Ketua Peserta Koperasi Felcra Sri Mendapat, Jumat Md Lani di atas segala sokongan yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya tanaman ini, mereka kini dapat berjimat wang dapur dan ia dapat digunakan untuk keperluan lain.

“Jiran-jiran, rakan-rakan dan sanak-saudara semua turut sama merasai hasil tanaman kami dan saya sendiri berasa puas dan seronok apabila semua hasil tanaman yang diusahakan menjadi.

“Pihak pemborong juga sudah banyak yang bertanyakan mahu membeli hasil tanaman saya memandangkan hasil tanaman sayuran saya semakin membesar,” katanya.

Rabu, 4 Mac 2009

13 Peserta Tamat Kursus Jahitan Polan Songkok

Seramai 13 peserta terdiri daripada suri rumah menyertai Kusus Intensif Menjahit Polan Songkok yang berlangsung selama lima hari di sini.

Kursus yang dianjurkan oleh Tekun Nasional Parlimen Jasin dan Pergerakan Wanita UMNO cawangan Sempang Pekan diberikan kepada peserta yang ingin menambah pendapatan sampingan memandangkan sebaik sahaja kurus ini selesai, kesemua peserta akan mula menjahit di rumah mereka sendiri.

Ketua Wanita UMNO cawangan Sempang Pekan, Sarni Mohd Rasad, berkata, idea untuk membantu kaum ibu dan golongan suri rumah ini datang apabila beliau pernah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sewaktu menyertai persatuan Kunita (Persatuan Isteri-isteri Nelayan Simpang Pantai).

“Semasa dalam persatuan itu, kami menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan kesempatan yang diberikan oleh Tekun Nasional dengan memberi peluang kepada kami untuk membuat pinjaman membeli mesin, saya merasakan seharusnya peluang ini harus direbut oleh golongan surirumah seperti kami ini.

“Ia adalah memandangkan kami tidak mempunyai sebarang aktiviti untuk dilakukan di rumah bagi membantu menjana pendapatan sampingan membantu suami dan keluarga dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya.

Katanya, jadi tidak salah jika kita mencuba dengan menghadiri kursus yang disediakan mendengar dan melihat penerangan yang diberikan oleh tenaga pengajar bagaimana untuk menjahit polan songkok ini.

“Dari situ, kita akan dapati industri menjahit polan songkok ini dapat membantu golongan surirumah dan golongan ibu tunggal dan usaha mereka mencari pendapatan tambahan.

“Dengan kursus dan penerangan yang diberikan ini dapat memberi suatu pengalaman yang luas kepada para peserta dan kesemua input yang mereka perolehi ini akan mendatangkan hasil apabila mereka dapat menjahit sendiri polan songkok ini di rumah.

“Selain itu mereka juga sebenarnya menjadi perintis kepada jahitan polan songkok dan apabila peserta sudah mahir menjahit polan songkok ini, mereka mampu meraih pendapatan sehingga antara RM 1,200 hingga RM 1,400 sebulan manakala bagi peserta yang kurang mahir mereka mampu memperolehi pendapatan sehingga RM 800 sebulan,” katanya.

Tambah Sarni lagi, kesemua polan songkok yang dihasilkan ini akan dijual secara berkelompok kepada pemborong melalui jualan tunai di sekitar Kuala Lumpur dan di negara Brunei.

“Apabila kumpulan peserta ini sudah mahir dalam jahitan polan songkok, diharapkan ia dapat membekalkan polan songkok kepada pemborong kerana industri seperti ini banyak dimonopoli oleh negara jiran, Indonesia,” katanya.

Sungai Lereh sedia kelengkapan lebih baik

Kerajaan negeri merancang untuk memindahkan nelayan-nelayan dari Pantai Puteri ke penempatan nelayan di Sungai Lereh dengan tujuan mencantikkan lagi pemandangan di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembagunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, pihaknya merancang untuk mengindahkan lagi landskap di sekitar pantai tersebut untuk menarik lebih ramai pelancong.

Menurut beliau, para nelayan tidak perlu risau kerana kerajaan negeri akan menyediakan pelbagai kelengkapan untuk mereka apabila berpindah ke tempat baru itu tahun depan.

''Penempatan nelayan tersebut yang dijangka siap pada tahun hadapan dibina untuk memberi keselesaan kepada para nelayan memandangkan bangsal mereka yang terdapat di pantai Puteri sudah kelihatan sangat berusia.

"Secara tidak langsung kawasan Pantai Puteri akan menjadi lebih bersih dan indah selain ia dapat menarik lebih ramai pelancong dari luar negara untuk sama-sama menikmati keindahannya," katanya di sini hari ini.

Mohamad Hidhir berkata, Sungai Lereh merupakan kawasan yang sesuai untuk dijadikan penempatan nelayan kerana ia dapat menjadikan aktiviti nelayan bersistematik dan tersusun.

"Dari segi aspek keselamatan pula, ianya lebih terjamin memandangkan sebelum ini saya menerima pelbagai aduan mengenai kehilangan peralatan menangkap ikan di Pantai Puteri.

''Saya berharap selepas ini dengan adanya penempatan baru ini masalah kehilangan barang akan berkurangan," kata beliau lagi.

Selain itu kata beliau, penempatan nelayan yang sedia ada di Pantai Puteri tidak cantik dan tersusun kerana bangsal-bangsal nelayan sudah terlalu usang dan tidak terjaga.

Keadaan itu katanya, telah mencacatkan pemandangan Pantai Puteri yang sepatutnya menjadi salah satu kawasan yang menarik dan wajar dijadikan produk baru pelancongan di Melaka.

Mohamad Hidhir berkata, dengan cara itu adalah lebih mudah untuk nelayan memasarkan hasil tangkapan mereka di tempat yang sama dan pengunjung akan lebih selesa membeli ikan di sana dan pihaknya akan memastikan kawasan itu sentiasa bersih.

Selain dari faktor perpindahan, kerajaan negeri katanya, sedang menunggu peruntukan untuk menambak semula hakisan yang terdapat di Pantai Puteri dan sekiranya diluluskan ia akan menjadikan kawasan itu lebih menarik untuk dikunjungi.