Jumaat, 1 Ogos 2008

Jasin Lalang juara bola sepak Sukan Melaka DUN Merlimau


Pasukan Jasin Lalang baru-baru ini berjaya mengalahkan tujuh pasukan lain di dalam Sukan Melaka peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Jasin Lalang berjaya mengalahkan pasukan Tun Teja pada peringkat akhir pertandingan yang diadakan di Politeknik Merlimau.

Manakala tempat ketiga pertandingan bola sepak Sukan Melaka tersebut dimenangi oleh pasukan Politeknik Merlimau dan keempat pula menjadi milik Kilang Berapi Merlimau.

:Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, melalui acara sukan yang dianjurkan, ia sebenarnya dapat mengeratkan hubungan di antara belia di kawasan Merlimau dan pihak penganjur.

“Dengan acara sebegini secara tidak langsung ia memberikan kesempatan untuk pemain dan penduduk di kawasan Merlimau dapat saling bertukar-tukar pandangan selain berpeluang menjalinkan sebuah hubungan yang rapat lagi.

“Selain memberi penumpuan terhadap pembangunan di kawasan Merlimau ini, aktiviti yang dilakukan oleh golongan belia juga tidak pernah dilupakan.

“Kami juga tetap memberi keutamaan dalam usaha membangunkan bidang sukan supaya golongan belia di DUN Merlimau mahupun belia di negeri ini dapat menyertainya,” katanya di dalam ucapan perasmian Sukan Melaka peringkat DUN Merlimau

Beliau turut memberitahu, jika acara yang diadakan mendapat sokongan serta galakan daripada orang ramai, beliau akan menambah jumlah hadiah yang ditawarkan pada tahun hadapan.

Jelasnya, penyertaan pada kali ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat sekitar DUN Merlimau. Aktiviti riadah ini turut memberi peluang kepada peserta untuk merehatkan badan sambil mengeluarkan peluh di samping dapat menjadikan otak dan minda kita kembali cergas.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk kita meluangkan masa bersama-sama di samping menikmati faedah daripada aktiviti sukan yang dilakukan,” jelasnya lagi.

:Turut hadir sama ialah Penghulu DUN Merlimau, Lazan Ali, Pengerusi MIC cawangan Paya Gemah, Sankara Narayanan, serta beberapa Pengerusi JKKK kawasan DUN Merlimau.

Tiada ulasan: