Selasa, 29 Julai 2008

Politeknik Merlimau jadi juara


Pasukan bola jaring Politeknik Merlimau (PPM) semalam berjaya mengalahkan lima pasukan lain di dalam Sukan Melaka peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

PPM berjaya menewaskan pasukan Air Merbau pada peringkat akhir pertandingan diadakan.

Manakala tempat ketiga pertandingan tersebut dimenangi pasukan Merlimau Timur dan keempat milik pasukan Air Merbau 1.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, melalui acara sukan yang dianjurkan oleh pejabat Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Merlimau, bakat masyarakat Merlimau dapat dicungkil sekali gus mengetengahkan bakat-bakat baru yang menyertai pertandingan.

“Selain itu juga, dapat mengeratkan lagi hubungan sedia ada di kalangan sesama mereka.

“Aktiviti ini adalah untuk menyihatkan badan setelah sehari suntuk bekerja dan masa yang terluang ini dapat diisi dengan melakukan perkara berfaedah,” katanya dalam ucapan perasmian Sukan Melaka peringkat DUN Merlimau semalam.

Jelas beliau lagi, penyertaan pada kali ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat sekitar DUN Merlimau.

Aktiviti riadah ini turut memberi peluang kepada peserta merehatkan badan sambil mengeluarkan peluh di samping menjadikan otak dan minda kembali cergas.

“Pertandingan ini adalah salah sebuah program dianjurkan bagi menanam semangat kesukanan yang ada di dalam setiap diri peserta memandangkan Melaka bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2010 nanti.

“Ia adalah sebagai salah satu langkah bagi meningkatkan lagi stamina peserta sempena penganjuran kerajaan Negeri sebagai tuan rumah Sukma kelak,” katanya.

Di samping itu, ia dapat mengeratkan perpaduan di antara pihak jawatankuasa, Japerun Merlimau dan masyarakat setempat, katanya.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk kita meluangkan masa bersama-sama di samping menikmati faedah daripada aktiviti sukan yang kita lakukan pada hari ini,” ujarnya lagi.

Turut hadir ialah Penghulu DUN Merlimau, Lazan Ali, Pengerusi MIC cawangan Paya Gemah, Sankara Narayanan, serta beberapa Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan DUN Merlimau.

Mohamad Hidhir (lima dari kiri) serta Penghulu DUN Merlimau, Lazan Ali (enam dari kiri) dengan pasukan Politeknik Merlimau dan Air Merbau sebelum memulakan acara.

Tiada ulasan: