Jumaat, 20 Februari 2009

Ingatan pada pengusaha burung walit

Semua pengusaha sarang burung walit di negeri ini disaran mematuhi lima garis panduan baru yang ditetapkan atau berdepan tindakan, lesen mereka ditarik balik atau dikenakan kompaun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan berkata, kesemua garis panduan itu akan menjadi syarat asas permohonan permit perusahaan sarang burung walit di negeri ini.

Menurut beliau, lima syarat tersebut ialah berdasarkan lokasi, status tanah, bangunan, amalan, kawalan operasi perusahaan dan latihan tahunan.

Beliau berkata, lokasi perusahaan tersebut perlu berada dalam jarak melebihi 100 meter daripada kawasan penempatan penduduk.

“Ia meliputi kawasan sekolah, tempat beribadat, perumahan, hospital dan semua jenis premis perniagaan hospital termasuk kawasan rekreasi.

“Bangunan kediaman, rumah kedai dan hotel tidak dibenarkan dijadikan premis perusahaan sarang burung walit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hidhir menegaskan, semua pengusaha sarang burung walit yang masih terdapat di pusat bandar ini perlu segera berpindah ke tapak baru yang akan disediakan di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

“Kita dapati, di kawasan Jonker Walk terutamanya, masih ada perusahaan ini dijalankan secara haram ataupun tamat lesen sementara.

“Mereka perlu pindah segera atau dikenakan kompaun RM250 sehari dan jika ada lesen, lesen mereka juga akan ditarik,” tegasnya.

Tambahnya, beliau akan sentiasa memantau aktiviti haram tersebut daripada berleluasa di bangunan-bangunan bersejarah di negeri ini.

Khamis, 19 Februari 2009

Pertandingan dam, karom eratkan penduduk


Seramai 50 peserta menyertai pertandingan sukan dam dan karom yang diadakan di Gerai Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di hadapan Taman Harmoni.

Pertandingan tersebut dianjurkan Badan Kebajikan Pakatan Taman Harmoni (Bakram) dengan kerjasama daripada UMNO Cawangan Merlimau Utara.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Cawangan Merlimau Utara, Mohd Nazri Jamil, berkata, pertandingan seperti ini berjaya mengumpulkan pelbagai bangsa dan agama dalam kalangan penduduk supaya dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Ketika pertandingan di adakan, ia bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan di antara penduduk malah ia juga merupakan sebagai salah satu program yang berjaya mendedahkan mereka dengan acara sukan yang kian kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat setempat.

“Bakram mengambil inisiatif dengan mengadakan pertandingan ini supaya masyarakat masih berpeluang bermain permainan yang dipertandingkan,” katanya.

Nazri berkata, Abd Rashid telah diumumkan sebagai pemenang bagi acara dam dan berjaya mengalahkan 19 peserta lain.

“Bagi acara karom perseorangan pula dimenangi Sabri dan karom beregu pula dimenangi Zaki dan Zainuddin.

“Majlis penyampaian hadiah disampaikan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah,” katanya.

Selasa, 10 Februari 2009

20 pelajar SMK Dang Anum cemerlang PMR dirai

Seramai 20 pelajar Sekolah Dang Anum yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu, dihargai dalam satu majlis baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, keputusan cemerlang yang dicapai pelajar Sekolah Menengah (SM) Dang Anum itu dianggap satu kejayaan yang cemerlang memandangkan sekolah berkenaan merupakan sekolah terbaik di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

“Di harapkan pelajar di sekolah ini dan Sekolah Menengah Dato Abdul Rahman Yaakop (SDARY) turut sama-sama berusaha dengan lebih gigih lagi bagi memastikan kejayaan sekali lagi dapat dilakar oleh sekolah SM Dang Anum.

“Hasil daripada tunjuk ajar tenaga pengajar dan sokongan ibu bapa serta penjaga membolehkan semakin ramai pelajar cemerlang dapat dilahirkan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian kepada pelajar cemerlang UPSR dan PMR di Sekolah Kebangsaan Merlimau 1 di sini.

Hadir sama Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Jasin, Tuah Kadir; Guru Besar Merlimau 1, Abu Zakar Md Dan dan Penghulu DUN Merlimau, Lazan Ali.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan oleh guru-guru dan ibu bapa.

“Ia penting dalam menjamin kejayaan yang lebih besar di masa hadapan,” katanya.

Khamis, 5 Februari 2009

58 Pelajar Cemerlang Terima sumbangan

Ujian Pencampaian Sekolah Rendah (UPSR)membabitkan seramai 58 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau tahun lalu menerima penghargaan dan sumbangan daroi ADUN Kawasan.

Dalam Majlis meraikan mereka(Pelajar Cemerlang), sekolah Merlimau 1 di umumkan sebagai sekolah terbaik antara 10 sekolah rendah bagi kawasan DUN Merlimau apabila mencatatkan jumlah tertinggi bilangan murid yang memperolehi A dalam semua matapelajaran.

seramai 25 murid memperoleh 5a keputusan UPSR tahun lalu berbanding tahun 2007, SK Merlimau 1 hanya mencatatkan seramai 20 orang sahaja yang mendapat 5A.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, kejayaan yang di perolehi oleh murid-murid itu bukan sahaja hasil usaha mereka,malah ia juga merupkan usaha gigih pendidik dan ibu bapa.

"Tanpa guru-guru yang memberi tunjuk ajar siapa kita untuk melakar kejayaan tampa sokongan dari ibu bapa anak-anak tidak mungkin perolehi kejayaan pada hari ini.

"Jesteru, sumbangan yang di berikan hari ini adalah sebagai memberi galakaan kepada mereka untuk terus cemerlang dalam peperiksaan yang lebih besar,"Katanya.

Mohamad Hidhir berkata demikian ketika berucap di perasmian sumbangan pelajar cemerlang di SK Merlimau 1, Turut hadir Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Jasin, Tuan Kadir: Guru Besar Merlimau 1, Abu Zakar Md Dan dan Penghulu DUN Merlimau, Lazan Ali.

Beliau juga mengingatkan para Pelajar supaya sentiasa mendengar nasihat dan tunjuk ajar dari guru-guru dan ibu bapa kerana ianaya penting dalam menjamain kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.

Isnin, 2 Februari 2009

Acara tiup belon tarik perhatian


Acara meniup belon yang dianjurkan pada majlis sempena Ulang Tahun Pasar Tani Merlimau ke-24 berjaya menarik perhatian kanak-kanak yang berkunjung ke pasar terbabit, semalam.

Acara kegemaran ramai ini berjaya menarik penyertaan lebih 20 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Seorang pengunjung, Md Ismail Abd Hamid, 50, berkata, acara meniup belon yang diadakan turut menarik minat masyarakat tempatan untuk datang ke pasar tani ini untuk membeli barangan keperluan.

“Dengan adanya aktiviti seperti ini, kanak-kanak berasa seronok kerana mereka berpeluang menyertai acara kegemaran.

“Walaupun ia dilihat senang, namun untuk menang, seorang kanak-kanak perlu meniup belon dengan cepat dan kuat supaya ia cepat besar dan pecah,” katanya.

Kesemua peserta menerima hadiah sebagai tanda penghargaan.

Semalam, FAMA mengadakan sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Merlimau yang ke-24 selain melancarkan pelekat kenderaan pasar tani fasa kedua.

Hadir merasmikan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.

Melaka antara paling aktif jayakan Bumi Hijau

Penyertaan 36 komuniti membabitkan seramai 3,000 orang dalam Kempen Bumi Hijau, menjadikan melaka sebagai salah sebuah negeri paling aktif dalam kempen berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, dalam keadaan ekonomi yang merudum kini, pembabitan masyarakat dalam kempen berkenaan dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, terutama kos pembelian barangan makanan serta menjana pendapatan sampingan peserta.

Menurutnya, mengikut kajian yang dijalankan, setiap keluarga akan dapat menjimatkan antara RM10 dan RM20 seminggu sekiranya kempen tersebut dijayakan dengan sebaiknya.

“Kerajaan akan terus menggalakkan orang ramai supaya mengambil bahagian dalam kempen ini kerana selain dapat membantu menjimatkan perbelanjaan ianya juga dapat membantu mengeratkan silaturahim antara mereka yang menjayakan program ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut Mohamad Hidhir, Kempen Bumi Hijau ini tidak semata-mata terhad kepada bidang pertanian seperti yang dianggap oleh ramai orang.

Menurutnya, selain pertanian, kempen tersebut turut memberi tekanan kepada dua komponen lain iaitu penternakan dan akuakultur.

“Dalam bidang penternakan, kerajaan telah memberi bantuan berupa 25 ekor ayam kampung kepada peserta untuk dibiakkan, dengan syarat mereka mesti menyediakan kemudahan reban dan sebagainya.

“Bagi akuakultur pula, setiap peserta akan turut menerima bantuan, termasuk dua tangki Poly Ethelene, yang mana setiap satu boleh memuatkan 200 ekor ikan keli,” katanya.

Mohamad Hidhir berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dalam Kempen Bumi Hijau, selain terus memberi bantuan untuk menjayakan pembabitan mereka.

“Sambutan di Melaka memang amat baik sehingga ada ketika tidak 'menang' tangan untuk melayan kesemuanya. Saya berharap sambutan sebegini akan terus diberikan kepada kempen ini,” katanya.

FAMA tambah enam lagi pasar tani


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menambah enam lagi pasar tani di sekitar Negeri Melaka pada tahun ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, satu daripadanya akan dibuka di Bemban, Jasin.

“Di samping itu, FAMA kini sedang menjalankan kajian terperinci untuk mewujudkan pasar tani tetap di seluruh negara.

“Satu pasar tani tetap akan diwujudkan di setiap negeri tidak lama lagi dan kajian mengenainya kini sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Pelekat Kenderaan Pasar Tani Fasa 2 dan sambutan ulang tahun ke-24 Pasar Tani Mega Merlimau, semalam.

Hadir sama, Pengarah FAMA Negeri Melaka, Mohd Nawi Othman; Pegawai FAMA Daerah Jasin, Abd Khalid Husin; Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Lazan Ali dan Ketua Penolong Pegawai Daerah, Sakri Seman.

Menurut Mohamad Hidhir, pasar tani tetap ini bertujuan memperluas fungsi pasar tani kepada masyarakat di samping memberi galakan kepada pengusaha dan peniaga tempatan untuk menjual hasil pertanian, ternakan dan produk mereka terus kepada pengguna.

“Dengan cara ini, pengusaha dan peniaga kecil-kecilan ini bukan sahaja dapat peluang berniaga malah segala hasil pertanian, ternakan dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ini dapat dijual terus kepada pengguna tanpa perlu menggunakan orang tengah,” katanya.

Menurutnya, sambutan ulang tahun ini diadakan bagi memperingati sejarah penubuhan pasar tani Merlimau pada 1985 dan menjadi pasar tani kedua terbaik seluruh Negeri Melaka selepas Alor Gajah.

“Justeru, majlis sambutan ini adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada pengunjung setia yang sentiasa memberi sokongan dengan berbelanja di pasar tani ini.

“Selain, kita juga memberi tawaran harga istimewa kepada pengunjung bertepatan dengan kempen yang sedang giat dijalankan iaitu Kempen Penurunan Harga Barangan pada masa kini.

“Kita juga mahu hubungan di antara peniaga dan pengunjung sentiasa akrab dan melalui hubungan seperti ini, kita berpeluang mengetahui masalah yang dihadapi pengunjung sewaktu berkunjung di pasar tani,” katanya.

Beliau berkata, pengedaran pelekat kenderaan pasar tani Fasa 2 adalah untuk mempromosikan slogan ‘Pasar Tani Pasar Pilihan’ dan diharapkan dapat menarik masyarakat berbelanja di sini.

“Manakala pengusaha pasar tani juga dapat menghayati slogan terbabit serta mengamalkan nilai-nilai positif semasa berniaga dalam usaha kita mendidik keluarga dan masyarakat menyayangi pasar tani,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan antaranya jualan produk industri asas tani, tawaran harga barangan terpilih, pertandingan gerai pasar tani terbaik Merlimau dan anugerah peserta pasar tani terbaik Merlimau.