Selasa, 2 Jun 2009

rancang aktiviti tarik pengunjung




MERLIMAU – Pelbagai acara menarik disediakan bagi menarik perhatian orang ramai hadir ke Ekspo Industri Asas Tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di pekarangan pejabatnya di Kampung Ayer Tawar di sini.

Pegawai Fama Daerah Jasin, Abdul Khalid Husin berkata, ekspo yang diadakan sekali setiap hujung bulan ini bertujuan memberi peluang kepada peniaga tempatan dan orang ramai untuk berniaga di sini.

Sehubungan itu katanya, bagi menarik lebih ramai lagi pengunjung dan peniaga menyertai hadir ke ekspo ini, Fama dengan kerjasama penduduk di sini mengadakan pelbagai aktiviti sampingan seperti sukaneka, pertandingan karaoke, meneka jumlah kacang di samping menawarkan pelbagai hadiah istimewa.

Katanya, selain menyediakan acara untuk kanak-kanak, penganjur juga menyediakan acara untuk ibu bapa dan remaja.

“Selain itu, peluang perniagaan turut dibuka kepada peniaga produk tempatan yang mahu memperkenalkan produk dan hasil jualan mereka kepada pengunjung.

“Memandangkan lokasi yang dipilih terletak di tepi jalan dan strategik, program ini menjadi tumpuan penduduk dan penduduk dari Muar, Johor dan Melaka yang melalui kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, dengan aktiviti yang diatur selain pelbagai jenis makanan dan barangan tempatan yang ditawarkan, Fama berharap dapat menarik ramai pengunjung dan keluarga untuk datang ke ekspo ini untuk bergembira,” katanya.

Katanya, setiap pengunjung pastikan akan dapat bergembira bersama keluarga kerana banyak barangan tempatan, makanan dan aktiviti menarik disediakan Fama untuk pengunjung.

“Pada cuti hujung minggu, selain beriadah dengan berkunjung ke ekspo ini, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti yang diatur untuk seisi keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman ketika berkunjung ke ekspo ini berkata, ekspo berkenaan harus diadakan secara berterusan bagi membolehkan orang ramai berkumpul dan bergembira setiap hujung minggu.

“Ekspo sebegini juga harus diadakan lebih kerap untuk memberi peluang kepada peniaga-peniaga tempatan meluaskan pasaran produk tempatan mereka,” katanya.