Jumaat, 23 Januari 2009

Daftar segera perniagaan

Kerajaan negeri meminta golongan pengusaha perusahaan kecil di seluruh negeri agar segera mendaftarkan perniagaan dengan agensi kerajaan berkaitan bagi membolehkan menerima insentif pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, insentif pertanian tersebut telah mula disalurkan kepada golongan berkenaan sejak Jun tahun lalu.

Katanya, setakat ini, kira-kira RM9 juta telah disalurkan dalam bentuk insentif pertanian kepada pengusaha ternakan dan pertanian di seluruh negeri.

''Bagaimanapun, pengusaha yang layak menerima faedah insentif ini perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan seperti warganegara Malaysia dan mendaftarkan perusahaan dengan Jabatan Veterinar atau Jabatan Perikanan dan pertanian di Jabatan Pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bumi Hijau Peserta Felcra negeri di sini hari ini.

Seramai 157 peserta program Bumi Hijau menerima sumbangan benih sayur dan baja yang disediakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sempena program tersebut.

Menurut Mohamad Hidhir, antara bentuk insentif pertanian yang disediakan adalah seperti ternakan ikan RM1 sekilogram, buah-buahan sebanyak RM81 satu tan manakala insentif bagi sayur-sayuran berupa RM78 satu tan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Merlimau berkata, insentif bagi daging kambing dan lembu diberikan sebanyak RM1.13 sekilogram.

Katanya, biarpun kerajaan mengambil inisiatif menyediakan insentif pertanian tersebut namun usaha tersebut tidak mendapat reaksi yang baik dari kalangan pengusaha terbabit.

Katanya, beliau kesal dengan pelbagai dakwaan yang dibuat oleh golongan itu yang melihat bahawa pemberian insentif pertanian itu terlalu kecil.

''Pengusaha mendakwa ia kecil tetapi sebenarnya insentif ini boleh dituntut dua bulan sekali namun pada masa sama, kita tetap melihat rekod ladang mereka," katanya.

Sementara itu, pada perkembangan berasingan, beliau turut menyelar sikap memilih pekerjaan di kalangan anggota masyarakat Felcra.

Katanya, terdapat segelintir di kalangan golongan itu yang mendakwa mengusahakan tanah ladang tidak menjanjikan pendapatan yang baik berbanding bekerja di sektor perkilangan.

''Mereka tidak sewajarnya memilih kerja, lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi yang lembap pada masa ini kerana ramai pekerja kilang diberhentikan.

''Sekiranya mereka tidak berminat bekerja di ladang dan kilang juga banyak dituntut, oleh itu, di mana mereka ingin bekerja ," katanya.

Beliau berkata, pendapatan pekerja ladang pada masa ini boleh mencapai RM700 hingga RM800 sebulan.

Jumlah tersebut, katanya, sudah membolehkan pengusaha ladang menampung keperluan hidup mereka berbanding pekerjaan sektor perkilangan yang pada masa ini terjejas dengan keadaan ekonomi.

Tiada ulasan: