Isnin, 2 Februari 2009

FAMA tambah enam lagi pasar tani


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menambah enam lagi pasar tani di sekitar Negeri Melaka pada tahun ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, satu daripadanya akan dibuka di Bemban, Jasin.

“Di samping itu, FAMA kini sedang menjalankan kajian terperinci untuk mewujudkan pasar tani tetap di seluruh negara.

“Satu pasar tani tetap akan diwujudkan di setiap negeri tidak lama lagi dan kajian mengenainya kini sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Pelekat Kenderaan Pasar Tani Fasa 2 dan sambutan ulang tahun ke-24 Pasar Tani Mega Merlimau, semalam.

Hadir sama, Pengarah FAMA Negeri Melaka, Mohd Nawi Othman; Pegawai FAMA Daerah Jasin, Abd Khalid Husin; Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Lazan Ali dan Ketua Penolong Pegawai Daerah, Sakri Seman.

Menurut Mohamad Hidhir, pasar tani tetap ini bertujuan memperluas fungsi pasar tani kepada masyarakat di samping memberi galakan kepada pengusaha dan peniaga tempatan untuk menjual hasil pertanian, ternakan dan produk mereka terus kepada pengguna.

“Dengan cara ini, pengusaha dan peniaga kecil-kecilan ini bukan sahaja dapat peluang berniaga malah segala hasil pertanian, ternakan dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ini dapat dijual terus kepada pengguna tanpa perlu menggunakan orang tengah,” katanya.

Menurutnya, sambutan ulang tahun ini diadakan bagi memperingati sejarah penubuhan pasar tani Merlimau pada 1985 dan menjadi pasar tani kedua terbaik seluruh Negeri Melaka selepas Alor Gajah.

“Justeru, majlis sambutan ini adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada pengunjung setia yang sentiasa memberi sokongan dengan berbelanja di pasar tani ini.

“Selain, kita juga memberi tawaran harga istimewa kepada pengunjung bertepatan dengan kempen yang sedang giat dijalankan iaitu Kempen Penurunan Harga Barangan pada masa kini.

“Kita juga mahu hubungan di antara peniaga dan pengunjung sentiasa akrab dan melalui hubungan seperti ini, kita berpeluang mengetahui masalah yang dihadapi pengunjung sewaktu berkunjung di pasar tani,” katanya.

Beliau berkata, pengedaran pelekat kenderaan pasar tani Fasa 2 adalah untuk mempromosikan slogan ‘Pasar Tani Pasar Pilihan’ dan diharapkan dapat menarik masyarakat berbelanja di sini.

“Manakala pengusaha pasar tani juga dapat menghayati slogan terbabit serta mengamalkan nilai-nilai positif semasa berniaga dalam usaha kita mendidik keluarga dan masyarakat menyayangi pasar tani,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan antaranya jualan produk industri asas tani, tawaran harga barangan terpilih, pertandingan gerai pasar tani terbaik Merlimau dan anugerah peserta pasar tani terbaik Merlimau.

Tiada ulasan: