Khamis, 22 Januari 2009

Daftar untuk dapat insentif

Pengusaha kecil di negeri ini disaran supaya segera berdaftar jabatan-jabatan yang berkaitan dengan perusahaan yang dijalankan bagi membolehkan mereka menerima insentif pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, insentif itu mula diberi Kerajaan Negeri semenjak Jun tahun lalu.

“Kira-kira RM9 juta insentif pertanian telah diberi kepada pengusaha-pengusaha dalam bidang ternakan dan pertanian di negeri ini.

“Dan bagi mereka yang mahu mendapatkan insentif yang disediakan, mereka perlu memenuhi syarat-syarat tertentu, termasuk mendaftarkan perusahaan mereka kepada pihak yang berkenaan. Misalnya pengusaha bidang ternakan perlu mendaftar kepada Jabatan Veterinar atau Jabatan Perikanan dan perusahaan pertanian di Jabatan Pertanian,” katanya selepas merasmikan Program Bumi Hijau Peserta Felcra Negeri Melaka di Dewan Bukit Sedanan, di sini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Adam Ali; Pengarah Jabatan Vaterinar Negeri, Dr Suratan Kamarudin; Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Selatan; Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Selatan, Hazrinor Hisham Harun dan Pengurus Felcra Desa Mesra Perdana, Mohd Khairil Zakaria.

Katanya, insentif pertanian yang disediakan bagi ternakan ikan adalah sebanyak RM1 sekilogram, buah-buahan RM81 satu tan dan insentif bagi sayur-sayuran adalah RM78 satu tan. Manakala insentif bagi daging kambing dan lembu diberi sebanyak RM1.13 sekilogram.

Bagaimanapun, Mohamad Hidhir kesal apabila ada di kalangan pengusaha yang mendakwa insentif terbabit terlalu kecil.

“Sebenarnya insentif itu boleh dituntut dua bulan sekali, tetapi kita akan melihat rekod ladang mereka terlebih dahulu sebelum insentif diberi kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, seramai 157 peserta Felcra hadir pada menerima kit Bumi Hijau berupa benih sayur dan baja yang disumbangkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Katanya, peserta Felcra digalakkan supaya mengusahakan tanah terbiar yang terdapat di sekeliling rumah mereka dengan bercucuk tanam.

“Masyarakat yang tinggal di Felcra seharusnya bergotong-royong dan memastikan kerjasama di kalangan mereka terus wujud.

“Dengan bekerjasama menjalankan usaha bercucuk tanam, kita dapat mengembalikan perpaduan dan merapatkan kembali hubungan di antara sesama jiran tetangga selain berpeluang menikmati hasil bercucuk tanam itu bersama-sama,” katanya.

Tiada ulasan: