Khamis, 22 Januari 2009

Jangan Pandang Rendah Insentif Pertanian

Pengusaha-pengusaha kecil di negeri ini dinasihatkan supaya berdaftar dengan jabatan-jabatan yang berkaitan dengan perusahaan mereka untuk melayakkan mereka mendapat insentif pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, insentif itu mula diberikan sejak Jun tahun lalu.

"Sehingga RM9 juta insentif pertanian telah diberikan kepada pengusaha-pengusaha dalam bidang ternakan dan pertanian di negeri Melaka.

"Mereka perlu memenuhi syarat-syarat untuk mendapatkan insentif. Antaranya mesti warganegara Malaysia dan mendaftarkan perusahan ternakan kepada Jabatan Veterinar atau Jabatan Perikanan dan pertanian di Jabatan Pertanian,"katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Bumi Hijau Peserta Felcra Negeri Melaka, di Dewan Bukit Sedanan, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Adam Ali; Pengarah Jabatan Veterinar Negeri, Dr Suratan Kamarudin; Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Selatan, Hazrinor Hisham Harun dan Pengurus Felcra Desa Mesra Perdana, Mohd Khairil Zakaria.

Insentif bagi ternakan ikan adalah sebanyak RM1 sekilogram, buah-buahan sebanyak RM81 satu tan dan insentif bagi sayur-sayuran adalah sebanyak RM78 satu tan.

Manakala insentif bagi daging kambing dan lembu diberikan sebanyak RM1.13 sekilogram. Walaubagaimanapun, Mohamad Hidhir ternyata kesal dengan dakwaan pengusaha bahawa insentif tersebut terlalu kecil.

"Pengusaha kata ianya kecil, tetapi sebenarnya insentif ini boleh dituntut dua bulan sekali, tetapi kita juga akan melihat rekod ladang mereka,"katanya lagi.

Sementara itu, seramai 157 peserta program Bumi Hijau diberikan kid berupa benih sayur dan baja yang disumbangkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Dalam perkembangan lain, Mohamad Hidhir turut menyelar sikap memilih kerja di kalangan penduduk Felcra yang mendakwa bekerja di ladang tidak mendatangkan pendapatan lumayan seperti bekerja di kilang-kilang.

"Mereka tidak sewajarnya memilih kerja, dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pekerja kilang diberhentikan kerja dan kalau mereka tidak berminat bekerja di ladang, dimanakah mereka ini boleh bekerja?,"katanya lagi.

Pendapatan pekerja ladang kini mencecah RM700 hingga RM800 sebulan dan jumlah ini mampu menampung kehidupan pekerja ladang daripada tiada langsung sumber pendapatan akibat diberhentikan kerja.

Menjawab dakwaan pekerja ladang bahawa pekerja asing memonopoli pekerjaan di ladang, Mohamad Hidhir berkata, pekerja-pekerja ladang tersebut diambil oleh kontraktor yang bertanggungjawab ke atas ladang-ladang.

"Bila pekerja tempatan tidak berminat, pengusaha ladang terpaksan mencari alternatif lain dengan menggajikan pekerja asing sebagai jalan akhir,"katanya lagi.

Mohamad Hidhir berharap penjelasannya dapat membuka mata masyarakat khususnya golongan belia bahawa pertanian dan penternakan merupakan projek yang menguntungkan pada masa depan.

Tiada ulasan: