Jumaat, 9 Januari 2009

PEGAWAI KERAJAAN PERLU ADA KEPAKARAN URUS PROJEK

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta semua Pegawai Kerajaan yang terlibat dalam projek ternakan ikan Siakap di Zon Industri Akuakultur (ZIA), di kampung Simpang Sebatu, Merlimau, di sini perlu miliki kepakaran berhubung keperluan industri perikanan bagi mengelak Kerajaan terus mengalami kerugian.

Beliau berkata, pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk mengurus kolam tersebut perlu menekankan empat perkara yang menjadi penentu kejayaan projek terbaru itu bermula sejak September tahun lepas.

"Mereka perlu fahami dengan baik dari segi benih ikan, apa jenis penyakit yang boleh menjangkiti benih-benih ikan.

"Pastikan jenis makanan dan ubat pencegahan yang patut digunakan untuk mengelakkan ikan tidak terkena serangan penyakit," katanya.

Mohd. Ali berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan meninjau pencapaian projek berkenaan hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali.

Tambahnya, perkara lain yang perlu ditekankan ialah berusaha untuk mengawal harga makanan ikan supaya tidak melambung tinggi dan sentiasa mempunyai alternatif lain untuk mengatasinya sekiranya berlaku.

"Mereka juga perlu ada kawalan dengan pemborong ikan, jangan kejap beli, kejap tidak dan terakhir sekali, kita perlu mempunyai stor simpanan sejuk yang mencukupi untuk menyimpan ikan-ikan ketika harga ikan jatuh," katanya.

Stor tersebut kata beliau, amat diperlukan untuk menghadapi tekanan harga ikan di pasaran dan menjual semula ikan yang disimpan apabila harga ikan kembali stabil.

"Saya yakin, kalau keempat-empat perkara ini diberi perhatian, industri Perikanan Siakap ini akan berjaya," katanya.

Tiada ulasan: