Selasa, 2 Disember 2008

Tebatan banjir: Melaka dapat peruntukan RM90 juta

Kerajaan Pusat meluluskan permohonan kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM90 juta untuk melaksanakan projek tebatan banjir di seluruh negeri termasuk daerah Merlimau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, sebanyak RM128 juta lagi juga telah diluluskan oleh kerajaan Pusat bagi melaksanakan sistem saliran yang lebih teratur di pusat bandar.

Menurutnya, projek tersebut perlu dilaksanakan segera bagi menangani masalah banjir kilat yang berlaku sejak beberapa tahun lalu serta mengelakkan masalah tersebut berlarutan pada masa depan.

''Saya difahamkan terdapat beberapa projek tebatan banjir telah dan sedang dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri.

''Projek tersebut diharap dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan yang mudah dinaiki air terutama pada musim hujan lebat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemantapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daerah Jasin Mengenai Bencana Alam di sini hari ini.

Mohamad Hidhir berkata, anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Katanya, sikap masyarakat yang lebih gemar menyalahkan kerajaan apabila berlaku banjir kilat di tempat mereka hanya akan merugikan masyarakat kerana pada akhirnya masalah tersebut gagal ditangani secara berkesan.

''Kerajaan telah berusaha dan mengambil langkah yang proaktif bagi menangani masalah banjir kilat tetapi masyarakat perlu ingat, bukan semua tindakan ini dapat mengatasi masalah itu sepenuhnya.

''Kita hanya merancang dan melaksanakan tindakan bagi mengatasi masalah banjir kilat dengan sebaik mungkin,'' katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri berkata, masyarakat perlu mempunyai inisiatif untuk bersama-sama membantu kerajaan mengatasi masalah banjir kilat.

Katanya, mereka boleh melibatkan diri secara aktif dalam program menangani masalah banjir kilat sama ada anjuran kerajaan atau badan bukan kerajaan.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan Program Pemantapan JKKK daerah Jasin hari ini, katanya, ia berjaya menarik penyertaan 60 pengerusi dan ahli jawatankuasa JKKK dari seluruh kampung di daerah tersebut.

Program tersebut, katanya, merupakan program jelajah anjuran Majlis Keselamatan Negara cawangan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Jasin bertujuan memberi penerangan kepada semua pemimpin masyarakat mengenai kaedah menguruskan bencana alam.

''Kita juga merasakan program ini perlu diteruskan pada tahun-tahun berikutnya agar ia dapat menerapkan kesedaran kepada semua anggota masyarakat mengenai tindakan yang sewajarnya diambil oleh mereka dalam membantu kerajaan menangani bencana alam yang berlaku," katanya.

Menurutnya, melalui cara tersebut, kerjasama antara masyarakat dan agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana dapat disatukan dan segala masalah yang berkaitan dengannya mampu ditangani dengan berkesan.

Tiada ulasan: