Rabu, 10 Disember 2008

Sektor Kerajaan Dan Swasta Digalak Sertai Program Berunsurkan Ilmiah

Budaya penganjuran Pertandingan Tilawah Al-Quran di sektor Kerajaan mahupun swasta telah mula mendapat perhatian seterusnya menjadikan pertandingan itu sebagai program tahunan.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan berkata, melalui pertandingan ini, secara tidak langsung setiap peserta diberi pendedahan cara penyampaian bacaan dengan tersusun disusuli hukum tajwid, taranum dan sebagainya dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, semua kakitangan Kerajaan mahupun swasta digalakkan supaya menyertai program berunsurkan ilmiah ini, sekaligus memberi penambahan dan pengertian maksud bait-bait penyampaian bacaan Al-Quran.

“Ambillah peluang ini kerana tidak rugi sekiranya kita mempelajari Al-Quran dan sekiranya salah dari segi hukum tajwidnya, boleh diambil perhatian dalam usaha memperbaiki kesalahan tersebut,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Tilawah Al-Quran 2008 Peringkat Pertubuhan Peladang Negeri Melaka di Dewan Masjid Al-Rasyidin di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Melaka, Norlizah Mohamad; Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Alor Gajah, Mahani Abd Manap dan Pengurus Besar PPK Alor Gajah, Azmi Mahmod.

Menurut Mohamad Hidhir, kesedaran masyarakat hari ini terhadap menerapkan budaya membaca Al-Quran seharusnya dipertingkatkan kerana sekurang-kurangnya memberi suntikan kepada individu untuk mencuba membaca ayat suci itu.

Katanya, sekiranya ianya bermula di peringkat dewasa, sepatutnya peringkat remaja, belia dan anak-anak kecil perlu diberikan penekanan bersama agar melahirkan pelapis baru yang minat mendalami ilmu al-Quran ini.

“Pada saya, tidak hairanlah apabila dalam solat kita menggunakan ayat-ayat suci termasuk Muqaddam, sudah tentu boleh membantu kita untuk dijadikan amalan harian, akhirnya tercetus minat pula untuk menghafal,” jelasnya.

Justeru itu, Mohamad Hidhir berharap, sekiranya majlis tilawah Al-Quran diteruskan di semua peringkat dengan penglibatan pelbagai peringkat usia, nescaya dapat membantu individu daripada terjebak dengan gejala yang boleh memesongkan akidah.

Majlis anjuran PPK Alor Gajah itu telah disertai seramai 20 peserta melibatkan lima PPK iaitu PPK Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka Tengah, Merlimau dan Jasin.

Tiada ulasan: