Rabu, 10 Disember 2008

Jeti Kuala Merlimau Akan Dibangunkan

Jeti Kuala Merlimau bakal dibangunkan tidak lama lagi apabila rancangan untuk menaiktarafkan jeti tersebut kini sedang giat dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, tujuan jeti tersebut dibangunkan adalah supaya jeti itu menjadi salah satu daya tarikan baru kepada orang ramai terutama di kalangan pelancong supaya datang ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

“Di samping itu, beberapa pelan untuk memajukan projek lain seperti Muara Merlimau telah dirancang dan sebahagian daripadanya kini sedang dibina seperti jeti dan membina bangunan kedai dua pintu di sana, sementara projek-projek yang lain pula akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan perjumpaan bersama Persatuan Nelayan Merlimau Pantai, di Balai Nelayan Merlimau Pantai, di sini, baru-baru ini.

Perjumpaan ini adalah bagi membincangkan mengenai pembangunanan yang akan dilaksanakan kelak di dalam kawasan DUN Merlimau.

Hadir sama, Penghulu DUN, Lazan Ali; wakil syarikat kontraktor, Khalid dan Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Nelayan Merlimau Pantai, Raub.

Sehubungan itu, Mohamad Hidhir meminta supaya setiap ahli persatuan nelayan terbabit dapat bersabar, selain memberikan kerjasama dalam usaha pihak Kerajaan Negeri mengindahkan jeti tersebut sama seperti jeti nelayan yang lain.

“Diharapkan agar pihak persatuan nelayan dapat terus bersabar dalam usaha kita bersama-sama menjadikan jeti berkenaan sebagai salah sebuah jeti yang cantik dan moden di negeri ini dan bagi memastikan projek ini berjalan lancar.

"Justeru, saya menyeru agar pihak persatuan dapat memberikan sepenuh kerjasama kepada syarikat kontraktor semasa projek ini sedang dibangunkan," katanya.

Jelasnya, projek membina dua pintu bangunan kedai ini selain berfungsi sebagai mengindahkan jeti nelayan, ianya juga akan memberi peluang perniagaan kepada mereka dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah lama berniaga di kawasan ini.

"Kini, di dalam kawasan DUN Merlimau sahaja, kita mempunyai produk pelancongan yang sedia ada seperti Perigi Portugis, Makan Tun Teja dan Rumah Tradisional Penghulu Mat Natar dan adalah tidak mustahil juga projek di jeti tersebut akan menjadi salah satu projek pelancongan kepada kawasan DUN Merlimau ini,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, bagi meningkatkan lagi hasil nelayan di jeti tersebut, sebanyak 14 tukun tiruan telah dilepaskan di perairan Merlimau untuk meningkatkan hasil pembiakan ikan.

Mohamad Hidhir turut menegaskan bahawa kebajikan dan permasalahan para nelayan di jeti tersebut akan tetap diberi perhatian dan dengan ini, setiap permasalahan yang timbul perlu diselesaikan dengan cara baik.

Dalam perkembangan lain, Raub pula merakamkan penghargaan kepada pihak Japerun Merlimau kerana mahu menaiktarafkan jeti tersebut bagi memberi kemudahan kepada seluruh nelayan di tempat tersebut.

Tiada ulasan: