Rabu, 10 Disember 2008

Babitkan 29 Peserta- RM283, 000 Biayai PPRT Di DUN Merlimau

Sepanjang tahun ini, kira-kira RM 283,000 telah dibelanjakan bagi membiayai pembinaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, membabitkan 29 peserta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan Merlimau mencatatkan bilangan penerima tertinggi yang mana dua buah rumah PPRT dibina dan enam lagi dibaiki dalam program ini.

Sementara itu katanya, bagi kawasan JKKK Chenderah pula mencatatkan jumlah kedua tertinggi yang mana satu rumah PPRT berjaya dibina manakala lima lagi rumah PPRT yang sedia ada telah siap dibaiki.

“Dan bagi kawasan JKKK Merlimau Tengah, Timur hanya mencatatkan satu rumah PPRT dibaiki di kawasan masing-masing sementara di Merlimau Utara pula mencatatkan satu pembinaan rumah PPRT yang telah siap dibina pada tahun ini,” katanya.

Katanya, disebabkan harga bagi barangan keperluan untuk membuat rumah kian meningkat, Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini telah meluluskan pembinaan bagi rumah PPRT sebanyak RM 17,000.

“Jika dahulu anggaran untuk menyediakan sebuah rumah PPRT ialah RM 15,000 kini kerjaan telah meluluskan penambahan sebanyak RM 2,000 untuk membina sebuah rumah PPRT,” katanya.

Baru-baru ini, Penyelia Unit Pembangunan Desa (UPD), Redzuan Mohd Ripin dan pembantu tadbir UPDn, Razali Mohd bersama-sama Setiausaha Japerun Merlimau, Suhaimi telah meninjau kawasan rumah PPRT yang siap dibina.

Menurut Redzuan, dengan bantuan yang disediakan oleh kerajaan, hasrat untuk membantu mereka dapat dilaksanakan dan tiada lagi masyarakat yang memerlukan bantuan terpinggir lagi di masa hadapan.

Tiada ulasan: