Rabu, 10 Disember 2008

Belia Melaka Disaran Ceburi Bidang Pertanian

Golongan belia di negeri ini yang berminat menceburi bidang pertanian dan perternakan digalakkan untuk menyahut saranan Kerajaan Negeri bagi menjayakan Program Bumi Hijau yang sedang giat diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, penyertaan dari golongan belia amat kurang memandangkan peruntukan yang disediakan kerajaan didapati tidak mendapat sambutan yang baik.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada memberi peruntukan khas kepada Agro Bank bagi membantu golongan belia yang ingin membangunkan projek pertanian atau penternakan namun ia tidak mendapat sambutan di kalangan belia negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Anak Ayam Kampung Kepada Penternak di Pusat Latihan Ternakan Ayam, di sini, hari ini.

Seramai 180 orang penternak ayam secara komersial yang terdiri daripada penduduk kampung dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam telah diberikan 25 ekor anak ayam setiap seorang.

Katanya, selain itu bagi golongan belia yang berminat menternak ayam, mereka boleh berbuat demikian dengan memohon kepada Jabatan Veterinar.

"Syaratnya, permohonon mestilah secara berkelompok atau di atas persatuan belia. Jika 10 orang kita akan bagi 250 ekor ayam.

"Kita juga menyokong usaha penternak yang ingin memulakan projek penternakan atau mengembangkan projek sedia ada. Malah pihak veterinar sendiri akan memberikan tunjuk ajar cara perternakan yang betul untuk ternakan mereka," katanya.

Menurut Mohamad Hidhir, pada peringkat permulaan selain peralatan lengkap makan minum, para penternak turut menerima seguni makanan ayam dan ubat Efektif Mikrob (EM) bagi mengawal bau dan pembiakan lalat.

"EM wajib digunakan bagi mengelakkan aduan dan ketidakselesaan orang sekeliling terhadap lalat dan bau yang tidak menyenangkan.

"Penggunaan EM ini juga sebagai persediaan atau untuk membiasakan penternak menggunakannya memandangkan ia akan dikuatkasakan penggunaannya mulai tahun depan di bawah Enakmen Unggas 2009," jelas beliau.

Tambah beliau, penggunaan EM juga amat penting memandangkan negeri Melaka merupakan negeri pelancongan.

"Kita tidak mahu negeri pelancongan ini terjejas dek kerana bau busuk dan lalat yang banyak.

"EM juga penting kerana kalau tak guna lesen tidak akan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya lagi.

Hadir sama, Pengarah Veterinar Melaka, Dr. Suratan Kamarudin; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Mohd Nawi Othman dan Penghulu DUN Serkam Zakaria Abu Bakar.

Tiada ulasan: