Jabatan Perikanan akan meneruskan kerjasama dengan semua hotel dan resort di setiap negeri sebagai langkah awal untuk mempromosikan ikan air tawar supaya menjadi antara menu utama makanan di premis berkaitan.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Suhaili Lee, berkata usaha sama yang akan bermula awal tahun depan itu dijangka memberi banyak manfaat, bukan saja kepada pelanggan yang dapat menikmati makanan dengan mudah, malah pemilik hotel serta penternak ikan yang kebanyakan masyarakat luar bandar.
Katanya, pihaknya juga akan membantu pemilik hotel untuk mendapatkan bekalan ikan air tawar menerusi perkenalan dengan penternak ikan air tawar yang terbabit dalam Program Dasar Jaminan Makanan Nasional anjuran Jabatan Perikanan.
"Jabatan ini berharap promosi makanan ikan air tawar ini memberi manfaat kepada penternak kerana ia sekali gus mampu membantu mereka menjual hasil ternakan kepada hotel.
"Pada masa sama, ia turut menggalakkan masyarakat supaya terus menjalankan ternakan ikan atau udang di kawasan terbiar di tempat mereka dan Jabatan Perikanan sedia membantu menerusi Program Dasar Jaminan Makanan Nasional," katanya selepas menghadiri majlis penutupan Seminar Gerai Ikan Bakar peringkat negeri di Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) Umbai Baru, Serkam di sini, kelmarin.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Ghazale Muhamad dan Pemangku Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali.
Suhaili berkata, beberapa hotel yang menjadikan masakan ikan air tawar sebagai menu di restoran mereka mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat khususnya pada waktu makan tengah hari dan malam.
Katanya, langkah itu dilihat mampu diperluaskan ke hotel lain, sekali gus menyahut seruan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya menjadikan ikan air tawar yang berprotein tinggi sebagai antara makanan harian penduduk di negara ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Suhaili berkata, semua pengusaha ikan bakar di seluruh negara perlu mementingkan kesegaran dan kualiti ikan seterusnya menghasilkan sajian yang menepati Piawaian Keselamatan Makanan.
Beliau berkata, pengusaha makanan itu juga perlu menitikberatkan pengendalian ikan yang sempurna, selain memastikan kaedah mempamer dan penyimpanan ikan serta tahap kebersihan premis serta pekerja mereka.
"Penurunan kualiti ikan dalam bentuk fizikal, kimia dan biologi adalah berpunca daripada pengendalian ikan yang tidak sempurna. Sebagai contoh, penggunaan ais yang kurang serta penggunaan peti ikan yang tidak sesuai termasuk aktiviti semasa mengendalikan penyediaan sajian.
"Sehubungan itu, perlu diingatkan bahawa aspek pengendalian ikan dijadikan agenda utama dalam usaha memperbaiki dan menjamin sajian serta menjamin nilai jualan yang lebih besar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan