Sebanyak 14 tukun tiruan dasar lembut yang menggunakan konkrit sepenuhnya pertama dilancarkan hari ini bagi memberikan rezeki kepada nelayan di kawasan Tambak Laut, Kota Laksamana, Tengkera hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa Dan Pertanian Negeri, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, tukun tiruan dasar lembut itu menelan kos RM168,000 dan secara keseluruhannya ditanggung oleh Jabatan Perikanan.
Menurutnya, tukun berkenaan adalah bagi menyediakan habitat untuk perlindungan, pemakanan, pembiakkan ikan dan pembesaran invertebreta lain.
"Dengan adanya usaha ini, ianya akan menambahkan habitat perikanan di perairan sekitar tukun tiruan, sekaligus menyelesaikan isu nelayan yang kehilangan punca rezeki setelah projek tambak laut dijalankan oleh Kerajaan.
"Ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah nelayan iaitu 29 orang di Pantai Klebang, tujuh orang di Kota Laksamana dan selebihnya di Muara Sungai Duyong," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Tukun Tiruan Dasar Lembut di Kota Laksamana Tengkera.
Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali.
Muhammad Hidhir berkata, projek itu akan meningkatkan sumber ikan di persekitaran dan menjadi tapak penyelidikan tukun tiruan.
"Saya difahamkan berat satu tukun ini mencecah 18 tan, Saya harap isu masalah nelayan di sini akan selesai secara berperingkat-peringkat," katanya lagi.
Sementara itu, Zawawi berkata, tukun tiruan adalah bahan binaan buatan yang berpotensi mengumpul dan meningkatkan pengeluaran ikan yang ditangkap oleh nelayan.
Menurutnya, konsep tukun tiruan itu adalah meletakkan sesuatu bahan semulajadi atau bahan buatan manusia di dasar laut untuk menambah kepadatan sumber perikanan setempat.
"Selepas satu tempoh, tukun tiruan akan berubah menjadi satu habitat yang sesuai untuk perlindungan, pembiakkan dan tempat mencari makanan kepada sebahagian besar spesis ikan dan habitat pelbagai jenis flora dan fauna yang lain," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan