Isnin, 18 Ogos 2008

Tingkatkan Keluaran Makanan Tujuh Strategi Digariskan Jamin Bekalan Mencukupi

Sebanyak tujuh strategi telah digariskan di bawah Dasar Jaminan Makanan Nasional dan empat darinya secara langsung di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, ia melibatkan program pemulihan kolam terbiar, program insentif dan galakan pengeluaran akuakultur, program bumi hijau dan program zon industri akuakultur.

Menurutnya, bagi projek kolam terbiar ianya bertujuan meningkatkan unit pengeluaran akuakultur bagi menambah jumlah bekalan ikan negara.

Menurutnya, ianya akan membantu mengurangkan beban kos pemulihan yang ditanggung oleh pengusaha akuakultur, selain menggalakkan pembangunan semula kawasan-kawasan kolam terbiar untuk meningkatkan pengeluaran ikan negara.

"Bagi program insentif galakan pengeluaran akuakultur, ianya bagi meringankan bebanan penternak dan pengusaha akuakultur berikutan dengan kenaikan kos pengeluaran.

"Di samping itu, ianya akan meningkatkan pengeluaran makanan dan menggalakkan budaya menyimpan rekod ladang,"katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Muhammad Hidhir berkata, bagi program bumi hijau pula ia bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran ikan negara selaras dengan Dasar Jaminan Bekalan Makanan Nasional.

Menurutnya, ianya turut membantu penjimatan perbelanjaan dapur harian serta menjamin sumber bekalan makanan keluarga yang berkualiti.

"Ianya juga sebagai salah satu galakkan masyarakat umum memakan ikan air tawar sebagai sumber protein alternatif untuk keluarga,"katanya lagi.

Sementara itu, program zon industri akuakultur pula akan mewujudkan kawasan kekal Zon Industri Akuakultur bagi meningkatkan pengeluaran ikan selari dengan matlamat Pelan Imbangan Dagangan (BoT),

Menurutnya, program itu akan meningkatkan pendapatan bersih pengusaha akuakultur sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.

"Pengeluaran ikan dan produk ikan yang bermutu tinggi dapat dihasilkan dan selamat kepada kesihatan pengguna.

"Ianya juga akan meningkatkan pengelibatan sektor swasta dengan kerajaan menyediakan kawasan ZIA, kemudahan infrastruktur dan Sistem Penyampaian Jabatan, selain mewujudkan rantaian pengeluaran ikan akuakultur yang cekap,"katanya lagi.

Tiada ulasan: