Jumaat, 15 Ogos 2008

14 sekolah terima peruntukan RM33,600

Kira-kira 14 buah sekolah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menerima peruntukan daripada kerajaan negeri bagi memudahkan pihak sekolah mengadakan aktiviti untuk pelajar-pelajarnya.

Pemberian peruntukkan ini untuk memudahkan pihak sekolah mengadakan kelas tambahan dan bimbingan untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, kerajaan telah menetapkan peruntukan sebanyak RM2,000 bagi 12 sekolah rendah manakala RM4,800 bagi dua sekolah menengah.

“Dengan peruntukan yang diberikan ini, di harap ia dapat memberi suntikan semangat kepada pelajar-pelajar dan pihak sekolah supaya lebih berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan.

“Kita juga mengharapkan agar bantuan ini dapat mewujudkan semangat berkobar-kobar semasa menghadapi peperiksaan besar yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri juga mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk masa depan pendidikan anak-anak dan diharapkan agar pelajar-pelajar dan pihak sekolah tidak menghampakan harapan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, kerajaan sentiasa berusaha memikirkan jalan yang sesuai demi untuk meningkatkan serta menggalakkan agar anak-anak di sekolah Dun Merlimau mencatat keputusan yang cemerlang semasa keputusan diumumkan.

“Pendidikan adalah sebuah asas dalam proses melahirkan modal insan yang berjaya di samping demi kepentingan pemimpin pada masa hadapan,” katanya.

Mohamad Hidhir juga menyeru kepada guru-guru supaya dapat mencurahkan segala ilmu sebaik mungkin kepada pelajar agar ilmu yang diperoleh dapat digunakan serta dijadikan panduan kepada mereka di masa hadapan kelak.

Beliau turut berpeluang meninjau sendiri masalah serta perkembangan di setiap sekolah yang dilawati.

Di dalam kunjungan yang dilakukan, terdapat sekolah yang meluahkan permasalahan mereka seperti guru besar Sekolah Kebangsaan Arab Merlimau Pasir meluahkan masalah mengenai CF bangunan sekolah tersebut yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan.

Beliau turut tertarik dengan perubahan yang dilakukan oleh pihak Sekolah Kebangsaan Merlimau 1 kerana mempunyai astaka perhimpunan tercanggih dan yang pertama mempunyai sebuah papan iklan elektronik yang dapat memberikan maklumat kepada pelajar.

Tiada ulasan: