Pembangunan modal insan yang ditekankan kerajaan bukan sekadar saranan untuk memperoleh ilmu pengetahuan tetapi mendidik dan membentuk masyarakat belia kepada personaliti yang lebih unggul.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Cawangan Merlimau Pasir, Jezlee Pit berkata, melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9), pembentukan personaliti golongan belia atau ‘towering personality’ dianggap penting kerana ia bukan sahaja untuk memperoleh ilmu pengetahuan.
“Keseluruhan ciri dan nilai peribadi unggul adalah seperti berjiwa besar, beretika, kasih sayang, bertolak ansur, bersatu padu, saintifik, dinamik dan sebagainya merupakan inti pati yang penting bagi membantu kecemerlangan negara ke arah yang terbilang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program anak angkat iaitu Program Rakan Muda Wawasan Desa Institut Pengajian Tinggi (IPT) parlimen Jasin, di sini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN), Lazan Ali, Pengarah Belia dan Sukan Melaka, R Effendi Razali, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Mohd Jazwin Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merlimau Pasir, Zainuddin Abu.
Menurut Jezlee, objektif utama program ini untuk mewujudkan dan menanam nilai kepimpinan di kalangan generasi muda terutama pelajar IPT dalam usaha membantu kerajaan mengukuhkan dan membangunkan jalinan integrasi yang erat dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kita berusaha untuk menanamkan sifat kesedaran dan pemahaman kepada golongan belia di IPT terhadap peranan mereka serta tanggungjawab yang perlu mereka ketahui dalam usaha mencapai pembangunan modal insan.
“Selain itu, Gerakan Belia 4B cawangan Merlimau Pasir dan Sri Nawar mahu menggerakkan tenaga muda iaitu golongan sasaran seperti pelajar IPT sebagai pemangkin kepada perubahan sosial yang lebih baik,” katanya.
Katanya, menjadi misi Gerakan Belia 4B dalam membina keharmonian dan kemakmuran masyarakat desa di dalam bidang ekonomi, sosial dan politik berasaskan ilmu pengetahuan yang disalurkan melalui belia IPT.
“Menerusi program anak angkat ini, seramai 200 pelajar dari Politeknik Merlimau dibahagikan kepada keluarga angkat dari Kampung Merlimau Pasir dan Kampung Air Tawar.
“Oleh itu, pelajar ini akan menyampai serba sedikit ilmu pengetahuan mereka kepada keluarga angkat,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya mahu membentuk komuniti yang dinamis berasaskan semangat kesukarelawan di antara masyarakat desa dan belia IPT.
“Jika boleh, belia dan masyarakat desa ini dapat mewujudkan rangkaian kerjasama yang erat di antara satu dengan lain. Selain itu, ia dapat mengukuhkan jalinan kerjasama agensi berkaitan bagi mencapai maklumat pembangunan negara,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan