Isnin, 2 Februari 2009

Melaka antara paling aktif jayakan Bumi Hijau

Penyertaan 36 komuniti membabitkan seramai 3,000 orang dalam Kempen Bumi Hijau, menjadikan melaka sebagai salah sebuah negeri paling aktif dalam kempen berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, dalam keadaan ekonomi yang merudum kini, pembabitan masyarakat dalam kempen berkenaan dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, terutama kos pembelian barangan makanan serta menjana pendapatan sampingan peserta.

Menurutnya, mengikut kajian yang dijalankan, setiap keluarga akan dapat menjimatkan antara RM10 dan RM20 seminggu sekiranya kempen tersebut dijayakan dengan sebaiknya.

“Kerajaan akan terus menggalakkan orang ramai supaya mengambil bahagian dalam kempen ini kerana selain dapat membantu menjimatkan perbelanjaan ianya juga dapat membantu mengeratkan silaturahim antara mereka yang menjayakan program ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut Mohamad Hidhir, Kempen Bumi Hijau ini tidak semata-mata terhad kepada bidang pertanian seperti yang dianggap oleh ramai orang.

Menurutnya, selain pertanian, kempen tersebut turut memberi tekanan kepada dua komponen lain iaitu penternakan dan akuakultur.

“Dalam bidang penternakan, kerajaan telah memberi bantuan berupa 25 ekor ayam kampung kepada peserta untuk dibiakkan, dengan syarat mereka mesti menyediakan kemudahan reban dan sebagainya.

“Bagi akuakultur pula, setiap peserta akan turut menerima bantuan, termasuk dua tangki Poly Ethelene, yang mana setiap satu boleh memuatkan 200 ekor ikan keli,” katanya.

Mohamad Hidhir berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dalam Kempen Bumi Hijau, selain terus memberi bantuan untuk menjayakan pembabitan mereka.

“Sambutan di Melaka memang amat baik sehingga ada ketika tidak 'menang' tangan untuk melayan kesemuanya. Saya berharap sambutan sebegini akan terus diberikan kepada kempen ini,” katanya.

Tiada ulasan: