Isnin, 29 September 2008

Pengasas kampung turut dapat sumbangan

Pengasas dan juga bekas Sidang Kampung Air Merbau, Wan Jamil, 82, merupakan antara 51 penerima sumbangan Aidilfitri daripada UMNO Cawangan Air Merbau, baru-baru ini.

“Saya begitu terharu ada pihak yang sudi menyampaikan sumbangan kepada saya sekeluarga memandangkan saya adalah pengasas kampung ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak UMNO yang menghulurkan sumbangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dan isteri, Datin Nor Azian Mohd Ali.

Turut hadir Penghulu Dewan Undangan Negeri ( DUN) Merlimau, Lazan Ali dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Air Merbau, Rohani Wahad.

Di samping itu juga, Mohamad Hidhir juga sempat mengadakan lawatan ke rumah seorang warga emas di Taman Mayang yang kini terlantar selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Abu Wahad, yang lumpuh sebelah badan kini tidak dapat duduk setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira setahun setengah lalu.

Selain sumbangan hari raya, Abu Wahad turut menerima sumbangan kuih raya dan juadah untuk berbuka puasa di samping lima kilogram beras.

Menurut Ketua UMNO cawangan, Zakariah Abd Hamid berkata, empat kumpulan dipecahkan bagi memudahkan penyampaian bantuan di setiap rumah penerima.

“Empat kumpulan yang bergerak ini memberikan sumbangan kepada kawasan meliputi Cawangan Air Merbau iaitu tiga taman perumahan dan satu perkampungan.

“Selain warga emas, kita juga ada memberi sumbangan Aidilfitri kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan mereka yang sedang terlantar sakit di rumah,” jelasnya.

Kata Zakariah lagi, melalui program seperti ini ahli-ahli cawangan yang turut serta semasa sumbangan dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk setempat dan ahli-ahli.

“Ia penting untuk kita membantu golongan yang memerlukan memandangkan Aidilfitri akan disambut tidak lama lagi.

“Oleh itu, kita ingin memastikan mereka yang kurang berkemampuan dapat meraikannya bersama-sama kita pada Aidilfitri nanti,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya turut merancang akan mengadakan program sebegini setiap tahun jika mendapat sokongan daripada ahli.

“Program ini merupakan salah satu program yang dapat mendekatkan lagi setiap ahli dengan penduduk setempat dan kemungkinan akan dijadikan sebagai tradisi dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Tiada ulasan: