Isnin, 22 September 2008

Jabatan Perikanan Pulihkan Kolam Terbiar 25,000 Benih Ikan Talapia Dilepaskan

Jabatan Perikanan Negeri sedang berusaha memulihkan kolam-kolam terbiar di sekitar negeri ini untuk dimajukan oleh belia-belia, anak Felda atau orang perseorangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, projek pemulihan kolam terbiar yang diusahakan semula adalah 'Tebat ChinChin' 30 sangkar, Felda Bukit Sedanan lima kolam, Felda Air Kangkong enam kolam, Kampung Beringin dua kolam dan Kampung Gadek 12 buah kolam.

Menurutnya, program pemulihan kolam terbiar itu merupakan salah satu rangka perlaksanaan pelan jaminan bekalan makanan nasional.

"Ianya meningkatkan unit pengeluaran akuakultur bagi menambah jumlah bekalan ikan negara serta membantu mengurangkan beban kos pemulihan yang ditanggung pengusaha akuakultur.

"Program ini juga akan menggalakkan pembangunan semula kawasan-kawasan kolam terbiar untuk meningkatkan pengeluaran ikan negara," katanya ketika ditemui semasa pelepasan benih ikan di lima buah kolam di Felda Bukit Sedanan, Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Zawawi Ali. Mohammad Hidhir berkata, kolam ikan Bukit Sedanan diusahakan oleh Mutiara Permata Desa Enterprise yang dipelopori oleh Azree Abd Samad dan sahabatnya.

Katanya, kos pemulihan lima kolam itu berjumlah RM4,990 dan kuantiti benih ikan Talapia yang dilepaskan adalah sebanyak 25,000 ekor dengan harga RM1,609.

Katanya, berdasarkan kriteria pemilihan projek itu, peserta perlu mempunyai hak pemilikan tapak yang sah, kawasan projek bebas banjir, sumber bekalan air tidak tercemar, mencukupi dan berkualiti dan memenuhi tahap kesesuaian.

"Antara skop bantuan pemulihan adalah kerja-kerja pemulihan infrastruktur seperti kolam atau sangkar, dan pintu air, bantuan bekalan peralatan seperti sistem pam, paddle wheel, yang mana nilai peralatan terhad RM5,000 (bagi sistem kolam air payau),"Bantuan input ternakan adalah makanan bagi dua pusingan ternakan dan benih ikan atau udang bagi dua pusingan ternakan,"katanya lagi.

Jelasnya, pengeluaran hasil bagi program itu tidak layak mendapat bayaran insentif selama dua pusingan pertama.

Sementara itu, Zawawi berkata, bagi bantuan pemulihan mengikut sistem membabitkan kolam air tawar, setiap peserta hanya layak memulihkan kawasan projek seluas tidak lebih 0.2 ha (effective Area).

Katanya, kuantiti benih mengikut kadar penebaran yang ditetapkan oleh jabatan seperti spesis Talapia 5 ekor/m2 jika 2000 m2, penternak layak menerima 50,000 ekor benih.

Menurutnya, kuantiti makanan mengikut yang ditetapkan iaitu spesis Talapia pengeluaran adalah 4.8 tan /o.2 ha dan penternak layak menerima 8.64 tan makanan.

"Nilai peralatan tidak melebihi RM5,000 dan setiap peserta juga layak memulihkan kawasan projek seluas 0.2 ha,"katanya lagi.

Tambahnya, bagi kolam air payau pula kuantiti benih mengikut kadar perlepasan seperti spesis Udang Harimau 30 ekor m2 jika 2000 m2 dan penternak layak menerima 60,000 ekor benih.

Tiada ulasan: