Selasa, 9 September 2008

Tanah Terbiar Bakal-Jadi Kawasan Beriadah

Kebimbangan penduduk di kawasan Perindustrian Merlimau dan Kampung Pasir Gembur, Sempang Pekan dekat sini berikutan keadaan semak samun tanah terbiar di kawasan berkenaan sejak tujuh tahun lalu bakal berakhir tidak lama lagi.

Ini berikutan, kawasan yang suatu ketika dahulu pernah didiami binatang berbisa seperti ular kini bakal dibangunkan untuk tujuan projek pembangunan taman rekreasi.

Melalui Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), penduduk di kawasan berkenaan kini sudah boleh menarik nafas lega apabila MPJ akan menyiapkan kawasan riadah untuk mereka serta pekerja kilang di kawasan berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Kampung Sempang Pekan, Rasidah Baba berkata, penduduk menyambut baik langkah MPJ membersihkan kawasan tanah terbiar di situ bagi tujuan pembangunan rekreasi.

Menurut Rasidah, selama tujuh tahun persatuan memohon kepada MPJ untuk menjadikan kawasan tanah terbiar itu menjadi kawasan riadah memandangkan di dalam kawasan kampung itu tidak mempunyai sebarang kemudahan beriadah, akhirnya penantian mereka berakhir.

“Daripada kawasan tanah ini terus terbiar begitu sahaja dengan semak samun, adalah lebih baik kawasan ini dijadikan sebagai tempat untuk anak-anak muda di kampung melakukan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Menurut Rasidah, beberapa kakitangan MPJ, Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Jasin dan Merlimau turut serta dalam kerja-kerja pembersihan tanah seluas lima ekar itu dengan menggunakan empat jentolak bagi membersihkan kawasan tanah terbiar tersebut.

“Pihak kami merancang untuk mewujudkan sebuah padang bola sepak dan sebuah padang bola jaring bagi memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk melakukan aktiviti sukan apabila padang-padang tersebut siap kelak,” katanya.

Rasidah memaklumkan, beliau diberitahu bahawa kerja-kerja pembersihan dan pembinaan padang itu dijangka akan siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

“Adalah menjadi harapan kita supaya tempat reaksi ini bakal memberi kelebihan kepada semua pihak terutama kepada mereka yang gemarkan aktiviti sukan dan mereka boleh menggunakan padang-padang ini sebaik mungkin demi memastikan semua pihak mendapat kelebihan dan manfaatnya,” katanya.

Tiada ulasan: