Khamis, 13 November 2008

Kerajaan Kaji Ternakan Walit Khususnya Di Kawasan Warisan

Satu jawatankuasa untuk mengkaji ternakan burung walit khususnya di Jonker Walk atau kawasan warisan di negeri ini sudah dibentuk Kerajaan Negeri berdasarkan permintaan penternak burung walit supaya Kerajaan memberi lesen bagi membolehkan mereka menternak haiwan berkenaan.

Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, pembentukan jawatankuasa itu dibuat dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini dan ia berperanan memberi laporan berhubung kesesuian ternakan burung walit yang diternak di dalam kawasan warisan.

Menurutnya, setakat ini, Kerajaan Negeri belum memberi sebarang kata putus berhubung permintaan penternak terbabit selagi belum mendapat laporan berhubung perkara itu daripada jawatankuasa yang dibentuk.

"Jawatankuasa ini yang dipengerusikan saya sendiri akan membuat laporan tentang perkara itu pada mesyuarat Exco akan datang.

"Sehubungan itu, kita sedang mengkaji perkara berkenaan dan jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan bertindak memanggil beberapa orang tertentu yang boleh memberi pandangan berkaitan hal berkenaan serta mengemukakan syor mengenai apakah langkah terbaik yang membolehkan kita membantu persatuan penternak burung walit di negeri ini," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Mohamad Hidhir berkata, apa yang dimaklumkan setakat ini, pihak penternak burung walit mendakwa ternakan haiwan berkenaan tidak menimbulkan pencemaran, tetapi pandangan ini berbeza dengan tanggapan pihak lain.

"Apapun jawatankuasa yang ada ini akan meneliti perkara berkenaan bagaimanapun, sebagai contoh, kita dapati terdapat sarang burung di dalam bilik Hotel Puri yang terletak bersebelahan Jonker Walk, malah ia tidak pula menimbulkan rungutan pengunjung hotel itu sendiri.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan satu tempat yang khusus, di mana penternak burung walit menternak haiwan itu di kawasan yang ditetapkan pada masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan: