Khamis, 13 November 2008

Melaka sasar RM54.39 juta nilai keluaran lembu 2010

Melaka menyasarkan RM54.39 juta nilai pengeluaran ternakan lembu di seluruh negeri ini pada 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, sasaran itu lebih besar berbanding pengeluaran 2005 iaitu RM33.39 juta.

Pada masa ini terdapat kira-kira 732 penternak lembu jenis tenusu, daging dan kandang yang jumlah keseluruhannya sebanyak 24,639 ekor di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

"Daerah Alor Gajah mencatatkan bilangan penternak terbanyak iaitu seramai 340 orang menternak lembu daging dengan jumlah ternakan sebanyak 11,123 ekor. Kerajaan negeri turut menyasarkan nilai pengeluaran untuk ternakan kambing dan biri-biri sebanyak RM8.47 juta dalam tempoh yang sama berbanding RM2.67 juta pada tahun 2005. Ketika ini, seramai 419 penternak kambing terdapat di seluruh negeri dengan bilangan ternakan sebanyak 28,912 ekor sementara penternak biri-biri seramai 84 orang dengan jumlah ternakan 6,394 ekor," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan penduduk terutama di luar bandar untuk terlibat secara aktif meningkatkan nilai pengeluaran ternakan pada masa depan.

"Mereka yang berminat perlu berkemampuan daripada segi modal dan memastikan jarak kawasan ternakan adalah satu kilometer dari kawasan penempatan penduduk bagi mengelak masalah pencemaran bau dan alam sekitar," katanya.

Beliau menjelaskan, buat masa ini kerajaan negeri belum bercadang menghasilkan bahan makanan ternakan bagi diedarkan kepada penternak.

“Penternak digalakkan mencari alternatif sendiri termasuk mengambil bahan semula jadi bagi tujuan tersebut. Misalnya menggunakan daun kelapa sawit bagi kegunaan bahan makanan ternakan kerana penggunaannya terbukti menambah protein dan pada masa sama penternak boleh mendapatkan nasihat kepakaran dari Jabatan Veterinar negeri,” katanya.

Tiada ulasan: