Rabu, 4 Mac 2009

Sungai Lereh sedia kelengkapan lebih baik

Kerajaan negeri merancang untuk memindahkan nelayan-nelayan dari Pantai Puteri ke penempatan nelayan di Sungai Lereh dengan tujuan mencantikkan lagi pemandangan di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembagunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, pihaknya merancang untuk mengindahkan lagi landskap di sekitar pantai tersebut untuk menarik lebih ramai pelancong.

Menurut beliau, para nelayan tidak perlu risau kerana kerajaan negeri akan menyediakan pelbagai kelengkapan untuk mereka apabila berpindah ke tempat baru itu tahun depan.

''Penempatan nelayan tersebut yang dijangka siap pada tahun hadapan dibina untuk memberi keselesaan kepada para nelayan memandangkan bangsal mereka yang terdapat di pantai Puteri sudah kelihatan sangat berusia.

"Secara tidak langsung kawasan Pantai Puteri akan menjadi lebih bersih dan indah selain ia dapat menarik lebih ramai pelancong dari luar negara untuk sama-sama menikmati keindahannya," katanya di sini hari ini.

Mohamad Hidhir berkata, Sungai Lereh merupakan kawasan yang sesuai untuk dijadikan penempatan nelayan kerana ia dapat menjadikan aktiviti nelayan bersistematik dan tersusun.

"Dari segi aspek keselamatan pula, ianya lebih terjamin memandangkan sebelum ini saya menerima pelbagai aduan mengenai kehilangan peralatan menangkap ikan di Pantai Puteri.

''Saya berharap selepas ini dengan adanya penempatan baru ini masalah kehilangan barang akan berkurangan," kata beliau lagi.

Selain itu kata beliau, penempatan nelayan yang sedia ada di Pantai Puteri tidak cantik dan tersusun kerana bangsal-bangsal nelayan sudah terlalu usang dan tidak terjaga.

Keadaan itu katanya, telah mencacatkan pemandangan Pantai Puteri yang sepatutnya menjadi salah satu kawasan yang menarik dan wajar dijadikan produk baru pelancongan di Melaka.

Mohamad Hidhir berkata, dengan cara itu adalah lebih mudah untuk nelayan memasarkan hasil tangkapan mereka di tempat yang sama dan pengunjung akan lebih selesa membeli ikan di sana dan pihaknya akan memastikan kawasan itu sentiasa bersih.

Selain dari faktor perpindahan, kerajaan negeri katanya, sedang menunggu peruntukan untuk menambak semula hakisan yang terdapat di Pantai Puteri dan sekiranya diluluskan ia akan menjadikan kawasan itu lebih menarik untuk dikunjungi.

Tiada ulasan: