Rabu, 4 Mac 2009

13 Peserta Tamat Kursus Jahitan Polan Songkok

Seramai 13 peserta terdiri daripada suri rumah menyertai Kusus Intensif Menjahit Polan Songkok yang berlangsung selama lima hari di sini.

Kursus yang dianjurkan oleh Tekun Nasional Parlimen Jasin dan Pergerakan Wanita UMNO cawangan Sempang Pekan diberikan kepada peserta yang ingin menambah pendapatan sampingan memandangkan sebaik sahaja kurus ini selesai, kesemua peserta akan mula menjahit di rumah mereka sendiri.

Ketua Wanita UMNO cawangan Sempang Pekan, Sarni Mohd Rasad, berkata, idea untuk membantu kaum ibu dan golongan suri rumah ini datang apabila beliau pernah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sewaktu menyertai persatuan Kunita (Persatuan Isteri-isteri Nelayan Simpang Pantai).

“Semasa dalam persatuan itu, kami menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan kesempatan yang diberikan oleh Tekun Nasional dengan memberi peluang kepada kami untuk membuat pinjaman membeli mesin, saya merasakan seharusnya peluang ini harus direbut oleh golongan surirumah seperti kami ini.

“Ia adalah memandangkan kami tidak mempunyai sebarang aktiviti untuk dilakukan di rumah bagi membantu menjana pendapatan sampingan membantu suami dan keluarga dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya.

Katanya, jadi tidak salah jika kita mencuba dengan menghadiri kursus yang disediakan mendengar dan melihat penerangan yang diberikan oleh tenaga pengajar bagaimana untuk menjahit polan songkok ini.

“Dari situ, kita akan dapati industri menjahit polan songkok ini dapat membantu golongan surirumah dan golongan ibu tunggal dan usaha mereka mencari pendapatan tambahan.

“Dengan kursus dan penerangan yang diberikan ini dapat memberi suatu pengalaman yang luas kepada para peserta dan kesemua input yang mereka perolehi ini akan mendatangkan hasil apabila mereka dapat menjahit sendiri polan songkok ini di rumah.

“Selain itu mereka juga sebenarnya menjadi perintis kepada jahitan polan songkok dan apabila peserta sudah mahir menjahit polan songkok ini, mereka mampu meraih pendapatan sehingga antara RM 1,200 hingga RM 1,400 sebulan manakala bagi peserta yang kurang mahir mereka mampu memperolehi pendapatan sehingga RM 800 sebulan,” katanya.

Tambah Sarni lagi, kesemua polan songkok yang dihasilkan ini akan dijual secara berkelompok kepada pemborong melalui jualan tunai di sekitar Kuala Lumpur dan di negara Brunei.

“Apabila kumpulan peserta ini sudah mahir dalam jahitan polan songkok, diharapkan ia dapat membekalkan polan songkok kepada pemborong kerana industri seperti ini banyak dimonopoli oleh negara jiran, Indonesia,” katanya.

Tiada ulasan: