Pulau Upeh merupakan lokasi yang paling banyak menerima pendaratan penyu Karah iaitu hampir 25 peratus dari jumlah pendaratan diikuti Tanjung Dahan di Kuala Linggi dan Padang Kemunting, Masjid Tanah. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir berkata, purata pendaratan penyu karah setiap tahun melebihi 350 sarang setahun. Menurutnya ancaman penyu berkenaan adalah ancaman pemakanan telurnya secara berlebihan, kehilangan habitat bertelur akibat pembangunan di pinggir pantai yang tidak terkawal dan kematian akibat terperangkap dalam alat penangkapan ikan. "Kebanyakan anak penyu tidak sempat mencecah usia dewasa disebabkan pelbagai jenis ancaman sepanjang kitaran hidup mereka," katanya ketika berucap di majlis perasmian penutup bengkel menyelamat, memulih dan melepaskan penyu di Dewan Persatuan Nelayan Melaka Barat, Kuala Sungai Baru anjuran Jabatan Perikanan Negeri Melaka. Datuk Mohamad Hidhir berkata, tujuan kursus bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan para nelayan mengenai cara-cara menyelamat dan melepaskan penyu yang tertelan mata kail dengan menggunakan pencabut mata kail (De-Hooker). Bengkel ini merupakan satu titik permulaan bagi seisi latihan yang bakal dianjurkan untuk para nelayan di perairan Melaka yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan