Khamis, 13 Ogos 2009

Aplikasikan Teknologi Moden

Para peladang disaran menumpukan kegiatan pertanian berskala besar supaya dapat membekalkan keperluan makanan negara yang mencukupi, sekaligus menjana ekonomi golongan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil kerana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyedikan peruntukan besar untuk melaksanakan kerja-kerja perladangan.

"Peladang perlu melipatgandakan usaha dengan mengaplikasikan teknologi pertanian serta rebut peluang yang disedaikan untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara dan mengurangkan import makanan,"katanya.

Mohamad Hidhir berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Peladang Peringkat Unit sempena Hari Peladang, Perternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 di Dewan Serbaguna, Merlimau Timur, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri, Datuk Abu Pit merangkap Ketua Unit Peladang Merlimau Timur; Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau, Mohdas Ayob; Pengerusi PPK Merlimau, Mt.Kahar Daut, dan Pengurus MAIM Sekuriti, Nasiran Mohd. Darwis.

Mohamad Hidhir turut mengucapkan tahniah kepada Unit Peladang Merlimau Timur kerana menjadi unit peladang pertama di negeri ini mengadakan Sambutan Hari Peladang 2009.

Sementara itu, Abu berkata, sambutan HPPNK 2009 merupakan usaha untuk menghargai kegigihan mengusahakan tanaman bagi memastikan makanan mencukupi, di samping menjaga ekonomi peladang.

"Kerjaya sebagai peladang adalah fardu kifayah dan sangat mulia di sisi Allah S.W.T dan sesungguhnya ini adalah kerja yang amat tinggi nilainya dilakukan peladang,"katanya.

Sementara itu, PPK memperoleh keuntungan sebanyak RM147,000. PPK turut menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM10,189 kepada Pusat Zakat Merlimau.

PPK Merlimau berusaha mempertingkatkan keuntungan bagi tahun 2009 sebanyak 20 peratus berbanding tahun 2008, di samping memperluaskan kawasan tanaman pisang dan fertigasi.

Pelbagai aktiviti dijalankan sempena Hari Peladang Unit Merlimau Timur, antaranya Pertandingan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa, kelapa sawit, Pertandingan Melukis Kanak-Kanak, dan Sukaneka.