Khamis, 23 Julai 2009

Untuk Kecemerlangan Masa Depan

Penguasaan Bahasa Inggeris (BI) oleh pelajar sejak dari bangku sekolah lagi amat penting dalam menghadapi era globalisasi serta arus pendidikan dan alam pekerjaan yang semakin mencabar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, penguasaan BI merupakan salah satu matapelajaran yang wajib lulus dengan kredit bagi membolehkan seseorang pelajar itu melangkah masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam semua matapelajaran termasuk BI.

"Kecemerlangan pelajar untuk menguasai BI harus diberi perhatian oleh ibu bapa dan guru bagi melahirkan generasi muda yang bakal menerajui negara serta mempunyai pengusaan BI yang bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Pusat Smart Reader Kids di Taman Mewah, Merlimau, di sini.

Turut hadir, Pemilik Pusat Smart Reader Kids, Taman Mewah Merlimau, Rashidah Abd Rahim dan rakan kongsinya Azurin Ayu Kamarulzaman.

Ujarnya, adalah amat merugikan negara jika rakyatnya tidak dapat menguasai BI dengan baik kerana BI adalah bahasa pengantar dunia.

Justeru itu, inisiatif yang telah diambil oleh pihak tertentu dengan menubuhkan Pusat Smart Reader Kids bertetapan dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan penduduknya yang dapat menguasai BI sejak dari umur empat tahun lagi.

"Usaha murni ini haruslah dicontohi oleh masyarakat lain dalam melahirkan anak-anak yang mahir berkomunikasi dengan baik dalam BI, di samping sumber pendapatan yang utama,"

Khamis, 16 Julai 2009

Kerajaan Negeri sentiasa komited dan menyokong segala aktiviti yang dapat memberi faedah kepada rakyatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, ini dapat dilihat dengan menjadikan sektor pertanian sebagai sektor komersial yang mampu menjadi penjana ekonomi bukan sahaja kepada penduduk di negeri ini, malah kepada negara.

Beliau berkata, sektor pertanian mampu memberi pulangan lumayan dan dapat menarik pelabur untuk datang ke negara khususnya negeri ini amnya.

"Dalam perlaksanaan projek pertanian, banyak masalah akan timbul yang memerlukan usaha bersepadu jabatan dan agensi Kerajaan bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul.

"Di bawah konsep MoA Inc, semua jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digerakkan secara bersepadu dan seterusnya menyelesaikan masalah yang timbul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Taklimat Jabatan dan Agensi MoA Inc dan Program Satu Rumah Satu Pokok Kelapa Pandan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Balai Raya Merlimau Timur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Negeri, Adam Ali; Pegawai Pertanian Daerah Jasin, Mahathir Omar dan Penghulu DUN Merlimau, Lazan Ali.

Katanya, sebanyak 100 batang anak pokok Kelapa Pandan akan diagihkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk kampung di sekitar DUN Merlimau.

Sehubungan itu, beliau berharap tiga tahun akan datang, pokok-pokok tersebut akan berbuah dan menjadi satu lagi produk pelancongan di negeri ini.

"Tanaman kelapa hidup dengan subur di sepanjang persisiran pantai, kita haruslah bersyukur kerana bumi Melaka yang bertuah ini dikurniakan Allah S.W.T dengan persisiran pantai yang panjang iaitu dari Sungai Rambai ke Kuala Linggi," katanya.

Selain itu, tanaman kelapa juga boleh mendatangkan sumber ekonomi hasil dari kelapa seperti kelapa segar, kelapa muda, lidi kelapa yang boleh dibuat penyapu dan juga nira kelapa untuk dijadikan gula Melaka yang terkenal.