Isnin, 29 September 2008

Pengasas kampung turut dapat sumbangan

Pengasas dan juga bekas Sidang Kampung Air Merbau, Wan Jamil, 82, merupakan antara 51 penerima sumbangan Aidilfitri daripada UMNO Cawangan Air Merbau, baru-baru ini.

“Saya begitu terharu ada pihak yang sudi menyampaikan sumbangan kepada saya sekeluarga memandangkan saya adalah pengasas kampung ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak UMNO yang menghulurkan sumbangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dan isteri, Datin Nor Azian Mohd Ali.

Turut hadir Penghulu Dewan Undangan Negeri ( DUN) Merlimau, Lazan Ali dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Air Merbau, Rohani Wahad.

Di samping itu juga, Mohamad Hidhir juga sempat mengadakan lawatan ke rumah seorang warga emas di Taman Mayang yang kini terlantar selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Abu Wahad, yang lumpuh sebelah badan kini tidak dapat duduk setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira setahun setengah lalu.

Selain sumbangan hari raya, Abu Wahad turut menerima sumbangan kuih raya dan juadah untuk berbuka puasa di samping lima kilogram beras.

Menurut Ketua UMNO cawangan, Zakariah Abd Hamid berkata, empat kumpulan dipecahkan bagi memudahkan penyampaian bantuan di setiap rumah penerima.

“Empat kumpulan yang bergerak ini memberikan sumbangan kepada kawasan meliputi Cawangan Air Merbau iaitu tiga taman perumahan dan satu perkampungan.

“Selain warga emas, kita juga ada memberi sumbangan Aidilfitri kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan mereka yang sedang terlantar sakit di rumah,” jelasnya.

Kata Zakariah lagi, melalui program seperti ini ahli-ahli cawangan yang turut serta semasa sumbangan dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk setempat dan ahli-ahli.

“Ia penting untuk kita membantu golongan yang memerlukan memandangkan Aidilfitri akan disambut tidak lama lagi.

“Oleh itu, kita ingin memastikan mereka yang kurang berkemampuan dapat meraikannya bersama-sama kita pada Aidilfitri nanti,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya turut merancang akan mengadakan program sebegini setiap tahun jika mendapat sokongan daripada ahli.

“Program ini merupakan salah satu program yang dapat mendekatkan lagi setiap ahli dengan penduduk setempat dan kemungkinan akan dijadikan sebagai tradisi dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Isnin, 22 September 2008

Jabatan Perikanan Pulihkan Kolam Terbiar 25,000 Benih Ikan Talapia Dilepaskan

Jabatan Perikanan Negeri sedang berusaha memulihkan kolam-kolam terbiar di sekitar negeri ini untuk dimajukan oleh belia-belia, anak Felda atau orang perseorangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, projek pemulihan kolam terbiar yang diusahakan semula adalah 'Tebat ChinChin' 30 sangkar, Felda Bukit Sedanan lima kolam, Felda Air Kangkong enam kolam, Kampung Beringin dua kolam dan Kampung Gadek 12 buah kolam.

Menurutnya, program pemulihan kolam terbiar itu merupakan salah satu rangka perlaksanaan pelan jaminan bekalan makanan nasional.

"Ianya meningkatkan unit pengeluaran akuakultur bagi menambah jumlah bekalan ikan negara serta membantu mengurangkan beban kos pemulihan yang ditanggung pengusaha akuakultur.

"Program ini juga akan menggalakkan pembangunan semula kawasan-kawasan kolam terbiar untuk meningkatkan pengeluaran ikan negara," katanya ketika ditemui semasa pelepasan benih ikan di lima buah kolam di Felda Bukit Sedanan, Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Zawawi Ali. Mohammad Hidhir berkata, kolam ikan Bukit Sedanan diusahakan oleh Mutiara Permata Desa Enterprise yang dipelopori oleh Azree Abd Samad dan sahabatnya.

Katanya, kos pemulihan lima kolam itu berjumlah RM4,990 dan kuantiti benih ikan Talapia yang dilepaskan adalah sebanyak 25,000 ekor dengan harga RM1,609.

Katanya, berdasarkan kriteria pemilihan projek itu, peserta perlu mempunyai hak pemilikan tapak yang sah, kawasan projek bebas banjir, sumber bekalan air tidak tercemar, mencukupi dan berkualiti dan memenuhi tahap kesesuaian.

"Antara skop bantuan pemulihan adalah kerja-kerja pemulihan infrastruktur seperti kolam atau sangkar, dan pintu air, bantuan bekalan peralatan seperti sistem pam, paddle wheel, yang mana nilai peralatan terhad RM5,000 (bagi sistem kolam air payau),"Bantuan input ternakan adalah makanan bagi dua pusingan ternakan dan benih ikan atau udang bagi dua pusingan ternakan,"katanya lagi.

Jelasnya, pengeluaran hasil bagi program itu tidak layak mendapat bayaran insentif selama dua pusingan pertama.

Sementara itu, Zawawi berkata, bagi bantuan pemulihan mengikut sistem membabitkan kolam air tawar, setiap peserta hanya layak memulihkan kawasan projek seluas tidak lebih 0.2 ha (effective Area).

Katanya, kuantiti benih mengikut kadar penebaran yang ditetapkan oleh jabatan seperti spesis Talapia 5 ekor/m2 jika 2000 m2, penternak layak menerima 50,000 ekor benih.

Menurutnya, kuantiti makanan mengikut yang ditetapkan iaitu spesis Talapia pengeluaran adalah 4.8 tan /o.2 ha dan penternak layak menerima 8.64 tan makanan.

"Nilai peralatan tidak melebihi RM5,000 dan setiap peserta juga layak memulihkan kawasan projek seluas 0.2 ha,"katanya lagi.

Tambahnya, bagi kolam air payau pula kuantiti benih mengikut kadar perlepasan seperti spesis Udang Harimau 30 ekor m2 jika 2000 m2 dan penternak layak menerima 60,000 ekor benih.

Selasa, 9 September 2008

Tanah Terbiar Bakal-Jadi Kawasan Beriadah

Kebimbangan penduduk di kawasan Perindustrian Merlimau dan Kampung Pasir Gembur, Sempang Pekan dekat sini berikutan keadaan semak samun tanah terbiar di kawasan berkenaan sejak tujuh tahun lalu bakal berakhir tidak lama lagi.

Ini berikutan, kawasan yang suatu ketika dahulu pernah didiami binatang berbisa seperti ular kini bakal dibangunkan untuk tujuan projek pembangunan taman rekreasi.

Melalui Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), penduduk di kawasan berkenaan kini sudah boleh menarik nafas lega apabila MPJ akan menyiapkan kawasan riadah untuk mereka serta pekerja kilang di kawasan berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Kampung Sempang Pekan, Rasidah Baba berkata, penduduk menyambut baik langkah MPJ membersihkan kawasan tanah terbiar di situ bagi tujuan pembangunan rekreasi.

Menurut Rasidah, selama tujuh tahun persatuan memohon kepada MPJ untuk menjadikan kawasan tanah terbiar itu menjadi kawasan riadah memandangkan di dalam kawasan kampung itu tidak mempunyai sebarang kemudahan beriadah, akhirnya penantian mereka berakhir.

“Daripada kawasan tanah ini terus terbiar begitu sahaja dengan semak samun, adalah lebih baik kawasan ini dijadikan sebagai tempat untuk anak-anak muda di kampung melakukan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Menurut Rasidah, beberapa kakitangan MPJ, Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Jasin dan Merlimau turut serta dalam kerja-kerja pembersihan tanah seluas lima ekar itu dengan menggunakan empat jentolak bagi membersihkan kawasan tanah terbiar tersebut.

“Pihak kami merancang untuk mewujudkan sebuah padang bola sepak dan sebuah padang bola jaring bagi memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk melakukan aktiviti sukan apabila padang-padang tersebut siap kelak,” katanya.

Rasidah memaklumkan, beliau diberitahu bahawa kerja-kerja pembersihan dan pembinaan padang itu dijangka akan siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

“Adalah menjadi harapan kita supaya tempat reaksi ini bakal memberi kelebihan kepada semua pihak terutama kepada mereka yang gemarkan aktiviti sukan dan mereka boleh menggunakan padang-padang ini sebaik mungkin demi memastikan semua pihak mendapat kelebihan dan manfaatnya,” katanya.

Isnin, 8 September 2008

Bazar Ramadhan Merlimau Dapat Sambutan Luar Biasa

Para perniaga Bazar Ramadhan yang memulakan perniagaan di serbu orang ramai seawal 4.30 petang sudah keluar mencari juadah untuk berbuka puasa.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati di beberapa lokasi utama yang sering menjadi tumpuan, orang ramai mula bertali arus mencari keperluan berbuka puasa terutama pada waktu puncak sekitar jam 6.00 petang hingga 7.00 malam.

Jalan utama di sepanjang pekan Merlimau mula sesak dan polis terpaksa ditempatkan disini bagi mengawal lalulintas.

Sememtara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Merlimau Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, beliau agak terkejut dengan sambutan orang ramai ke bazar Ramadhan Merlimau.

Menurutnya, beliau juga yakin walaupun ekonomi tidak menentu, ianya tidak memaksa orang ramai keluar membeli belah dan jumlah pengunjung yang agak luar biasa tentunya dapat meningkatkan pendapatan peniaga di kawasan berkenaan.

"Saya lihat sambutan diterima amat baik dan saya juga menyeru kepada semua peniaga-peniaga supaya menjaga kualiti makanan masing- masing sepanjang bulan Ramadhan ,"Katanya ketika ditemui di Bazar Merlimau.

Mohammad Hidhir berkata, peniaga-peniaga juga diseru tidak menjual makanan basi kepada pembeli dan Jabatan Kesihatan Negeri turut akan memantau semua makanan yang di jual.

"Tahun lepas, rekod peniaga disini agak baik dan tidak ada laporan di terima mengenai makanan basi yang dijual.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hidhir berkata, kios-kios tetap yang didirikan di tepi jalan utama di pekan Merlimau itu juga merupakan usaha kerajaan menyusun atur semula kawasan perniagaan di kawasan ini.

Dengan adanya kios ini,saya rasa ianya tersusun dan mengikut kehendak kerajaan negeri,"katanya lagi.

Orang Miskin Perlu Baiki Taraf Hidup

Golongan fakir miskin dan mereka yang kurang bernasib baik wajar berusaha membaiki taraf hidup masing- masing daripada bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan tatapi dalam masa yang sama, mereka juga tidak boleh menjadi golongan peminta selama- lamanya.

"Dalam usaha kerajaan negeri mencapai hasrat kemiskinan sifar menjelang 2010, saya amat berharap golongan miskin ini turut memainkan peranan dengan berusaha meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Ramadhan dan Aidilfitri sumbangan Jabatan Agama Islam Melaka(JAIM) di sini. semalam

Pada majlis itu, seramai 139 fakir miskin dari enam kawasan kariah DUN Merlimau menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.

Jumaat, 5 September 2008

Pasukan Lipat Kajang juara Kejohanan Futsal Merdeka

Pasukan daripada Lipat Kajang, baru-baru ini muncul juara dalam acara pertandingan akhir futsal dalam Kejohanan Futsal Merdeka bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara yang ke-51.

Perlawanan yang diadakan di Arena Futsal Merlimau, pasukan Lipat Kajang berjaya menewaskan pasukan Nerveous dengan menjaringkan gol 3-2 pada tendangan penalti.

Menurut pengerusi Belia 4B cawangan Merlimau Pasir, Jezlee Pit berkata, dengan adanya acara seperti ini, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan pemain dan penonton.

“Dalam pertandingan seperti ini, ia juga dapat memberi peluang kepada belia-belia untuk menonjolkan serta mengetengahkan bakat mereka.

“Bakat yang mereka tonjolkan sepanjang pertandingan ini bukan berakhir di sini malah mereka juga akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi bagi mengetengahkan lagi bakat mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, aktiviti sebegini harus diteruskan agar ia mampu mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan mereka yang terdiri pelbagai kaum di samping membina semangat kekitaan serta mengurangkan aktiviti yang tidak berfaedah.

“Daripada mereka melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan faedah, adalah lebih baik mereka melakukan aktiviti sukan kerana ia juga boleh menyihatkan tubuh badan mereka,” jelasnya lagi.